fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia ditutup tinggi susulan aktiviti membeli saham berharga rendah

FOTO FAIL

KUALA LUMPUR, 6 Jun - Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini susulan aktiviti membeli saham yang ketika ini berharga rendah berbanding biasa selepas pengambilan untung semalam, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 6.20 mata atau 0.39 peratus kepada 1,614.73 daripada paras penutup 1,608.53 pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran yang dibuka tinggi naik 3.29 mata kepada 1,611.82, turun naik antara paras 1,609.34 dan 1,617.05 sepanjang sesi dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 770 berbanding 475, dengan 442 kaunter tidak berubah, 681 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 5.35 bilion unit bernilai RM4.50 bilion daripada 4.28 bilion unit bernilai RM3.40 bilion.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI ditutup tinggi apabila para pelabur mengambil peluang untuk memburu saham berharga rendah (ketika ini berharga lebih rendah daripada biasa) selepas aktiviti pengambilan untung semalam.

"Kami masih optimis kerana kami melihat bursa tempatan disokong oleh harga saham yang menarik, peningkatan keyakinan pelabur yang diukur daripada jumlah dagangan harian yang tinggi dan belian asing yang bertambah baik.

"Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam jajaran 1,610-1,630 menuju ke hujung minggu," katanya kepada Bernama.

Thong berkata indeks utama serantau juga diniagakan tinggi susulan petunjuk positif daripada Wall Street semalam.

"Jangkaan penurunan kadar oleh European Central Bank, digabungkan dengan data lemah pasaran buruh Amerika Syarikat (AS), mencetuskan harapan yang Rizab Persekutuan AS (Fed) akan menurunkan kadarnya, yang seterusnya merangsang sentimen pasaran,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional melonjak 44.0 sen kepada RM13.70, CIMB Group naik 6.0 sen kepada RM6.95 dan IHH Healthcare meningkat 6.0 sen kepada RM6.24.

Sementara itu, Maybank dan Public Bank kekal tidak berubah pada RM9.98 dan RM4.13.

Dalam kalangan kaunter cergas, WCT Holdings meningkat 15.0 sen kepada 77.5 sen, Kawan Renergy naik 15.5 sen kepada 80 sen dan Datasonic Group menokok 3.0 sen kepada 55 sen, JCY International dan SNS Network Technology tidak berubah masing-masing kepada 61.5 sen dan 65 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 63.71 mata kepada 12,303.69, Indeks FBMT 100 menokok 51.96 mata kepada 11,895.77, Indeks FBM Emas Shariah menambah 88.76 mata kepada 12,576.18, Indeks FBM 70 naik 102.71 mata kepada 17,640.85 manakala Indeks FBM ACE menokok 32.33 mata kepada 5,499.94.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 46.26 mata kepada 17,637.43, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.67 mata kepada 197.24, manakala Indeks Telekomunikasi dan Media susut 0.40 mata kepada 612.59 dan Indeks Perladangan jatuh 24.26 mata kepada 7,112.86.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 3.15 bilion unit bernilai RM3.92 bilion daripada 2.57 bilion unit bernilai RM2.98 bilion.

Jumlah dagangan waran naik kepada 1.07 bilion unit bernilai RM130.50 juta daripada 912.07 bilion unit bernilai RM110.10 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 1.12 bilion saham bernilai RM447.93 juta daripada 802.28 juta saham bernilai RM311.10 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 357.39 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (445.55 juta), pembinaan (538.68 juta), teknologi (532.10 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (109.86 juta), hartanah (534.16 juta), perladangan (22.97 juta), REITs (25.65 juta), dana tertutup (28,700), tenaga (174.16 juta), penjagaan kesihatan (128.25 juta), telekomunikasi dan media (45.20 juta), pengangkutan dan logistik (135.52 juta), utiliti (97.98 juta) dan amanah perniagaan (711,400). - BERNAMA

TETITIA YUSOFF