fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia ditutup rendah seiring prestasi suram pasaran serantau

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Bursa Malaysia mengakhiri dagangan Jumaat lebih rendah susulan sentimen berhati-hati di tengah-tengah prestasi pasaran serantau yang suram, kata penganalisis.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kehilangan 7.42 mata atau 0.46 peratus kepada 1,622.25 berbanding penutupan pada paras 1,629.67, semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 1.51 mata pada 1,628.16, dan bergerak dalam julat 1,621.74 hingga 1,628.21 sepanjang sesi dagangan.

Pasaran secara meluas adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 593 berbanding 435 manakala 549 kaunter tidak berubah, 1,052 tidak diniagakan dan lapan digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.23 bilion unit bernilai RM2.84 bilion daripada 4.74 bilion unit bernilai RM3.62 bilion, semalam.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pelabur lebih mengambik sikap tunggu dan lihat berikutan prestasi serantau yang kurang memberangsangkan walaupun terdapat perkembangan positif di peringkat tempatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat jam 4.05 petang ini dan berkata perbelanjaan awam dalam belanjawan itu berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion dalam Belanjawan 2025.

Di pasaran tempatan, sahan wajaran tinggi Maybank susut lima sen kepada RM9.95, CIMB Group rugi tujuh sen kepada RM7.50, Tenaga Nasional turun enam sen kepada RM13.22, IHH Healthcare merosot 11 sen kepada RM7.99 namun Public Bank untung satu sen kepada RM4.30.

Saham paling cerdas didahului Top Glove dan V.S. Industry yang masing-masing menokok setengah sen kepada 67.5 sen dan 57 sen, Tanco susut setengah sen kepada 84.5 sen dan Hartalega kehilangan enam sen kepada RM1.24 manakala KNM tidak berubah pada setengah sen.

Kaunter paling untung adalah VSTECS yang naik 22 sen kepada RM4.28, Hap Seng Consolidated menokok 16 sen kepada RM2.99, Hong Leong Bank dan Hong Leong Financial masing-masing naik 14 sen kepada RM20.64 dan RM17.02 ketika Metrod meraih 12 sen kepada RM1.32.

Sebaliknya, kaunter rugi menyaksikan Nestle susut RM2 kepada RM97.56, Malaysian Pacific Industries rugi 44 sen kepada RM30.72, Fraser & Neave turun 26 sen kepada RM27.44, Malayan Cement berkurangan 25 sen kepada RM6.83 dan KESM merosot 23 sen kepada RM3.67

Di papan indek pula, Indeks FBM Emas merosot 50.40 mata kepada 12,131.31, Indeks FBM 100 susut 53.82 mata kepada 11,853.88 manakala Indeks FBM Emas Syariah turun 47.14 mata kepada 12,198.97.

Indeks FBM 70 menguncup 76.08 mata kepada 17,177.52 manakala Indeks FBM ACE naik 7.63 mata kepada 5,298.76.

Bagi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kekal tidak berubah pada 174.86, Indeks Perladangan turun 13.50 mata kepada 7,890.95, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 69.41 mata kepada 18,383.44 dan Indeks Tenaga menokok 4.04 mata kepada 799.00.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 1.78 bilion unit yang bernilai RM2.54 bilion daripada 2.18 bilion unit bernilai RM3.13 bilion, semalam.

Waran pula berkurangan kepada 1.04 bilion unit bernilai RM130.19 juta daripada 1.99 bilion unit bernilai RM280.05 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 411.55 juta saham bernilai RM162.59 juta berbanding 579.29 juta saham bernilai RM207.97 juta sebelumnya.

Dalam pada itu di Pasaran Utama, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 224.21 juta saham manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (303.71 juta), pembinaan (103.39 juta), teknologi (184.84 juta), perkhidmatan kewangan (77.82 juta), hartanah (251 juta), perladangan (37.67 juta), amanah pelaburan hartanah (REIT) (34.76 juta), dana tertutup (46,200), tenaga (187.59 juta), penjagaan kesihatan (276.70 juta), telekomunikasi dan media (28.94 juta), pengangkutan dan logistik (28.33 juta), utiliti (42.84 juta) dan amanah perniagaan (58,000).- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE