KUALA LUMPUR, 27 September- Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini di tengah-tengah pasaran serantau yang bercampur-campur dan dagangan yang tidak menentu di Wall Street semalaman, kata seorang peniaga.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.44 mata kepada 1,440.11 daripada paras penutup 1,445.55 pada Selasa selepas dibuka rendah turun 4.69 mata kepada 1,440.86.
Indeks petunjuk pasaran bergerak antara paras 1,436.75 dan 1,441.87 sepanjang sesi dagangan.
Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 572 berbanding 341 manakala 442 kaunter tidak berubah, 1,032 tidak diniagakan dan 100 yang lain digantung.
Jumlah dagangan susut kepada 2.97 bilion unit bernilai RM1.94 bilion daripada 3.15 bilion unit bernilai RM1.95 bilion.
Ketua penyelidik Apex Securities Bhd Kenneth Leong berkata para pelabur juga menjual pegangan mereka berikutan cuti umum esok.
Beliau menjangkakan aliran menurun akan berterusan berikutan kekurangan petunjuk baharu, ditambah dengan kebimbangan terhadap situasi kadar faedah tinggi yang berpotensi menjejaskan prospek ekonomi.
“Dari segi teknikal, paras 1,433 mata akan berfungsi sebagai paras sokongan. Sebarang perubahan mungkin menyaksikan kenaikan terhad pada paras 1,464 hingga 1,470,” katanya kepada Bernama.
(Foto hiasan)
Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya akan ditutup esok (Khamis, 28 Sept, 2023) bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul.
Sementara itu, para pelabur juga memantau rapat data keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku kedua Amerika syarikat yang akan diumumkan malam esok.
Pada Selasa, S&P 500 jatuh 1.5 peratus, penurunan kelimanya dalam masa enam hari, ditutup pada 4,273.53, The Dow Jones Industrial Average susut 1.1 peratus kepada 33,618.88 manakala komposit Nasdaq turun 1.6 peratus kepada 13,063.61.
Pada penutup dagangan, kaunter saham wajaran tinggi Maybank naik satu sen kepada RM8.88, Tenaga Nasional meningkat lapan sen kepada RM10.02 manakala CIMB tidak berubah pada RM5.55, Public Bank jatuh lima sen kepada RM4.14 dan Petronas Chemicals berkurangan 11 sen kepada RM7.22.
Dalam kalangan kaunter cergas, Evergreen Max Cash Evergreen Max Cash meningkat 3.5 sen kepada 35 sen, Velesto dan KNM naik setengah sen masing-masing kepada 25.5 sen dan 51 sen manakala MYEG jatuh dua sen kepada 78 sen dan Vsolar berkurangan 4.5 sen kepada 18 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun sebanyak 46.50 mata kepada 10,663.14, Indeks FBMT 100 susut 46.65 mata kepada 10,326.84 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 44.34 mata kepada 10,921.80.
Indeks FBM ACE mengukuh sebanyak 39.16 mata kepada 5,158.67 dan Indeks FBM 70 turun 97.13 mata kepada 14,167.24.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 16.02 mata kepada 6,991.24, Indeks Perkhidmatan Produk Perindustrian berkurangan sebanyak 1.55 mata kepada 172.66 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun sebanyak 64.89 mata kepada 16,123.63.
Indeks Tenaga meningkat 9.98 mata kepada 898.81.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berjumlah 1.88 bilion unit bernilai RM1.66 bilion daripada 1.88 bilion unit bernilai RM1.62 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 328.79 juta unit bernilai RM37.32 juta berbanding 334.55 juta unit bernilai RM40.74 juta.
Pasaran ACE turun kepada 749.08 juta saham bernilai RM241.13 juta daripada 910.89 juta saham bernilai RM293.66 juta sebelumnya.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 278.49 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (367.35 juta); pembinaan (131.14 juta); teknologi (203.61 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (53.65 juta); hartanah (314.33 juta); perladangan (30.31 juta); REITs (6.74 juta), dana tertutup (5,000); tenaga (299.89 juta); penjagaan kesihatan (51.65 juta); telekomunikasi dan media (31.32 juta); pengangkutan dan logistik (63.45 juta) dan utiliti (51.31 juta).- BERNAMA