fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dibuka tinggi, jejaki prestasi semalaman Wall Street

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 24 September- Bursa Malaysia meningkat semula daripada penurunan semalam untuk dibuka tinggi pada Selasa, menjejaki prestasi positif Wall Street semalaman, kata penganalisis.

Pada pukul 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.47 mata kepada 1,668.77 daripada 1,665.30 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.95 mata lebih tinggi kepada 1,667.25.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 203 berbanding 130, manakala 290 kaunter tidak berubah, 1,882 kaunter tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 154.59 juta unit bernilai RM114.65 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup tinggi pada Isnin, dengan Purata Perindustrian Dow Jones dan S&P 500 mencatatkan rekod tertinggi dalam keadaan tidak menentu.

“Bagaimanapun, sentimen pelabur mungkin telah berubah kepada berhati-hati kerana pelabur kini akan menumpukan tuntutan pengangguran mingguan yang akan dikeluarkan pada Khamis,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, FBMKLCI ditutup sedikit rendah semalam mungkin disebabkan oleh kekurangan pemangkin pembelian selain bursa tempatan mengalami keadaan tidak banyak berubah.

Justeru, Thong menjangkakan indeks berlegar dalam julat 1,660 hingga 1,670 hari ini.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM10.70, CIMB menambah dua sen kepada RM8.36, dan Tenaga Nasional melonjak 10 sen kepada RM14.84.

Sementara itu, Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing turun satu sen kepada RM4.69 dan RM7.10.

Bagi kaunter aktif, Sin-Kung Logistics dan Globetronics masing-masing naik satu sen kepada 19 sen dan 70 sen, AGX Group menokok 4.5 sen kepada 62 sen, 99 Speed Mart Retail menambah tiga sen kepada RM2.02, dan APB Resources naik dua sen kepada 57 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 19.51 mata kepada 12,524.66, Indeks FBM Emas Syariah menambah 22.27 mata kepada 12,379.58, Indeks FBMT 100 naik 19.10 mata kepada 12,216.64, Indeks FBM 70 menokok 4.39 mata kepada 17,867.77, dan Indeks FBM ACE naik 2.95 mata kepada 5,188.72.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 25.39 mata kepada 19,724.23, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.52 mata kepada 177.82, dan Indeks Tenaga bertambah 3.47 mata kepada 874.72.

Bagaimanapun, Indeks Perladangan susut 11.61 mata kepada 7,140.38.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE