fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini menjejaki prestasi semalaman Wall Street yang menggalakkan berikutan keyakinan didorong oleh pendapatan korporat yang kukuh / Foto Fail

KUALA LUMPUR, 24 April - Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini menjejaki prestasi semalaman Wall Street yang menggalakkan berikutan keyakinan didorong oleh pendapatan korporat yang kukuh dan dilihat sebagai petunjuk kepada pendapatan daripada syarikat-syarikat besar yang akan dilaporkan dalam tempoh beberapa hari akan datang, kata penganalisis.

Pada 9.11 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 7.81 mata kepada 1,569.45 daripada 1,561.64 pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 3.85 mata kepada 1,565.49.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 284 berbanding 105 manakala 277 kaunter tidak berubah, 1,698 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 220.10 juta unit bernilai RM112.89 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata Dow Jones Industrial (DJI) Average melonjak 264 mata manakala Nasdaq menambah 245 mata manakala hasil 10 tahun Amerika Syarikat (AS) susut kepada 4.607 peratus berikutan data pembuatan AS yang terkini mencecah paras terendah dalam tempoh empat bulan.

Beliau berkata Indeks Hang Seng Hong Kong naik hampir kepada paras 17,000 berikutan peniaga mengalu-alukan pembaharuan terkini China untuk meningkatkan pasaran Hong Kong selain keyakinan terhadap pendapatan korporat daripada syarikat teknologi utama.

“Dalam negara, kami menjangka sektor pembinaan, kewangan dan telekomunikasi akan menjadi tumpuan minat belian hari ini dan indeks akan berada dalam julat 1,560-1,570,” katanya kepada Bernama.

Dengan Wall Street meningkat semula, Malacca Securities Sdn Bhd berkata minat belian dijangka ke arah saham di peringkat tempatan.

“Susulan Sidang Kemuncak KL20 2024, didapati wujud minat belian dan kami menjangka momentum akan kekal sekurang-kurangnya untuk tempoh terdekat dalam sektor teknologi dengan matlamat Malaysia akan menjadi kuasa besar untuk cip di rantau Asia Tenggara, selain tumpuan dijangka ke arah segmen pembinaan, hartanah, utiliti dan bahan binaan.

“Sementara itu, peniaga dijangka melihat kepada sektor penerbangan dan perhotelan berikutan trafik penumpang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) terus pulih pada suku pertama 2024,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank, masing-masing naik 2.0 sen kepada RM9.84 dan RM4.23, CIMB meningkat 8.0 sen kepada RM6.75, IHH Healthcare menambah 2.0 sen kepada RM6.26, bagaimanapun Tenaga Nasional merosot 2.0 sen kepada RM11.70.

Bagi saham aktif, Borneo Oil naik setengah sen kepada 1.0 sen, RGB International meningkat 1.0 sen kepada 39.5 sen, Iconic Worldwide berkurangan setengah sen kepada 9.0 sen manakala Ingenieur Gudang dan Widad, masing-masing tidak berubah pada 13.5 sen dan 6.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 55.22 mata kepada 11,770.26, Indeks FBMT 100 menambah 52.81 mata kepada 11,411.07, Indeks FBM 70 meningkat 59.26 mata kepada 16,308.30, Indeks FBM ACE melonjak 44.64 mata kepada 5,002.79 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 54.00 mata kepada 11,912.35.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.51 mata kepada 186.07, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 69.71 mata kepada 17,425.06, Indeks Tenaga menambah 2.71 mata kepada 971.87 dan Indeks Perladangan menokok 29.90 mata kepada 7,413.85.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN