KUALA LUMPUR, 18 November- Indeks utama Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini walaupun Wall Street rendah pada Jumaat lepas berikutan penganalisis berhati-hati bahawa lonjakan yang didorong oleh Trump mungkin tidak akan berterusan lagi selepas Parti Republikan menguasai Dewan Perwakilan dan Senat.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.62 mata kepada 1,593.06 daripada 1,592.44 pada Jumaat lepas.
Indeks petunjuk pasaran memulakan dagangan hari ini dengan naik 0.47 mata kepada 1,592.91.
Bagaimanapun, pasaran secara keseluruhannya mencerminkan sentimen bercampur-campur, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 191 berbanding 176.
Sementara itu, 309 kaunter kekal tidak berubah, 1,781 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 334.14 juta saham bernilai RM90.64 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata susulan Parti Republikan menguasai Dewan Perwakilan dan Senat, ia mungkin akan memberi impak negatif dan sentimen pasaran juga mungkin berubah menjadi terlalu optimis dengan risiko yang tinggi.
“Sementara itu, hasil AS untuk tempoh 10 tahun kekal pada paras tinggi pada 4.445 peratus walaupun terdapat penurunan sebanyak 25 mata asas baru-baru ini.
“Di Hong Kong, Indeks Hang Seng (HSI) ditutup mendatar selepas sesi dagangan yang tidak menentu berikutan jualan runcit China yang terkini sebanyak 4.8 peratus dan penurunan harga rumah yang perlahan tidak mencukupi untuk meningkatkan keyakinan peniaga,” katanya kepada Bernama.
Dalam negara, katanya FBM KLCI mencatatkan penurunan yang mengejutkan apabila ia ditutup di bawah paras 1,600 minggu lepas, menunjukkan potensi fasa konsolidasi yang panjang jika ia tidak meningkat semula dengan segera hari ini.
“Oleh itu, kami menjangka terdapat aktiviti belian saham pada harga rendah dan indeks berada dalam julat 1,595–1,605 hari ini,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional dan IHH Healthcare, masing-masing naik dua sen kepada RM14.22 dan RM7.25, CIMB Group meningkat empat sen kepada RM8.23, bagaimanapun Public Bank merosot tiga sen kepada RM4.44 dan Maybank berkurangan enam sen kepada RM10.30.
Bagi saham aktif, 3REN, Bumi Armada dan Yew Lee Pacific Group, masing-masing menambah setengah sen kepada 41 sen, 54 sen dan 43 sen, Top Glove naik empat sen kepada RM1.14 manakala P.A. Resources tidak berubah pada 29 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah naik 37.13 mata kepada 12,060.43, Indeks FBM Emas meningkat 16.50 mata kepada 12,121.82, Indeks FBMT 100 menambah 16.34 mata kepada 11,822.54 dan Indeks FBM 70 melonjak 67.93 mata kepada 17,886.81.
Indeks FBM ACE naik 9.01 mata kepada 5,156.17.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 1.0 mata kepada 828.17, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 42.71 mata kepada 19,114.13, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 1.55 mata kepada 169.82 dan Indeks Perladangan naik 1.91 mata kepada 7,628.09. -BERNAMA