KUALA LUMPUR, 30 Oktober- Bursa Malaysia menyaksikan dagangan mendatar pada sesi awal urus niaga Rabu, diasak sentimen berhati-hati yang berlanjutan menjelang pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) pada 5 November ini.
Pada pukul 9.06 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.71 kepada 1,612.37 daripada 1,615.08 pada akhir dagangan semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka susut 0.18 mata kepada 1,614.90.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 159 berbanding 134 manakala 231 kaunter lain tidak berubah, 1,968 tidak didagangkan dan 123 digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 130.90 juta unit bernilai RM69.51 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street mengakhiri dagangan bercampur-campur semalam ketika peniaga menunggu pengumuman prestasi kewangan Alphabets yang mencatat pendapatan suku ketiga mengatasi unjuran penganalisis dipacu oleh perniagaan pengkomputeran awannya.
Selain itu, prestasi kewangan Apple, Microsoft, Amazon dan Meta Platforms juga dijadual pada minggu ini manakala mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS pula pada minggu depan.
“Di peringkat tempatan, FBM KLCI berakhir dengan positif, didorong oleh beberapa aktiviti memburu tawaran saham berharga rendah semalam. Namun, sentimen secara menyeluruh kekal berhati-hati sepertimana digambarkan oleh jumlah dagangan yang rendah," katanya.
Beliau berkata beberapa kaunter perladangan mungkin menjadi tumpuan selepas harga minyak sawit mentah (MSM) meningkat ke paras tertinggi setakat ini, sekali gus menyuntik harapan terhadap potensi besar dalam suku keempat.
“Kami berharap indeks ini akan mengekalkan peningkatannya dan menjangkakan pergerakan dalam julat 1,615-1,625 pada hari ini,” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Tenaga Nasional susut 10 sen to RM13.96, SD Guthrie turun satu sen kepada RM4.70 dan Maxis menguncup lima sen kepada RM3.75.
HLFG naik empat sen kepada RM18.52 manakala Petronas Chemicals susut tiga sen kepada RM5.52.
Bagi saham aktif, Bahvest naik 1.5 sen kepada 84 sen, Niche Capital meraih 2.0 sen kepada 20.5 sen manakala Talam Transform, TWL dan Silver Ridge masing-masing meningkat setengah sen pada 2.5 sen, 3.0 sen dan 47.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 11.05 mata kepada 12,168.90, Indeks FBMT 100 berkurangan 14.69 mata kepada 11,874.64, Indeks FBM Emas Shariah merosot 19.89 mata kepada 12,128.48 dan Indeks FBM 70 menyusut 2.45 mata kepada 17,631.05.
Indeks FBM ACE naik 11.08 mata kepada 5,043.36.
Mengikut sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 4.13 mata kepada 19,154.82, Indeks Perladangan turun 11.25 mata kepada 7,324.09, Indeks Tenaga susut 2.45 mata kepada 833.51 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.07 mata kepada 174.88.- BERNAMA