fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia bercampur-campur semasa akhir sesi dagangan pagi

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 27 Oktober- Bursa Malaysia berada dalam prestasi bercampur-campur semasa tengah hari pada Jumaat berikutan pengambilan untung dalam kaunter pembinaan dan teknologi terpilih sekali gus mengimbangi kenaikan awal, kata peniaga.

Pada rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 2.39 mata kepada 1,442.99 daripada 1,440.60 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.11 mata lebih tinggi kepada 1,440.71 sebelum bergerak di antara 1,439.33 dengan 1,444.15 semasa sesi pagi.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 393 berbanding 294, manakala 421 kaunter tidak berubah, 1,284 kaunter tidak diniagakan dan 24 digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.48 bilion unit bernilai RM737.86 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pengumuman oleh syarikat utama di Amerika Syarikat (AS) mengenai keuntungan yang lebih rendah berbanding jangkaan turut menyumbang kepada prestasi Wall Street yang lemah.

“Memandangkan keadaan dagangan di luar negara yang lebih lemah, kami percaya ini mungkin memberi tekanan kepada seektor teknologi.

“Kami juga berpendapat bahawa pengukuhan dolar AS berbanding ringgit akan memberikan potensi positif bagi segmen berkaitan eksport, yang boleh memanfaatkan saham sarung tangan dan perabot dalam jangka masa terdekat,” tambahnya.

Firma pembrokeran berpandangan bahawa saham dengan ciri-ciri bertahan dalam sektor telekomunikasi dan utiliti, ditambah pula dengan kedudukan tunai bersih yang kukuh dan pembayaran dividen yang stabil adalah wajar dibeli oleh pelabur jangka panjang.

Antara saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank tidak berubah pada RM9.00; Public Bank dan CIMB masing-masing naik satu sen kepada RM4.18 dan RM5.69; Petronas Chemicals menambah enam sen kepada RM7.28, manakala Tenaga Nasional turun satu sen kepada RM9.88.

Daripada saham aktif, CSH Alliance, Kanger dan PUC masing-masing mendatar pada enam sen, 14 sen dan 5.5 sen; UEM Sunrise susut tiga sen kepada 79 sen dan Sarawak Consolidated susut setengah sen kepada 53.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 8.14 mata kepada 10,639.84; Indeks FBMT 100 naik 9.96 mata kepada 10,314.26 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 9.42 mata kepada 10,852.85.

Indeks FBM ACE turun 13.62 mata kepada 5,035.97 dan Indeks FBM 70 menguncup 17.56 mata kepada 14,005.11.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian adalah 0.65 mat lebih tinggi kepada 172.51; Indeks Perladangan meningkat 14.01 mata kepada 6,889.49; dan Indeks Tenaga menambah 0.79 mata kepada 871.45.

Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 2.16 mata kepada 16,240.63. -BERNAMA

SITI AISHAH BINTI MD ISA