KUALA LUMPUR, 11 November - Penganjuran program BMW Next Generation Technician (BMW NextGT) mencerminkan komitmen negeri Selangor untuk melahirkan generasi baharu tenaga mahir Malaysia yang bersedia memimpin peralihan ke arah mobiliti lestari dan elektrifikasi masa depan.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program itu juga memperkukuh kecemerlangan teknikal dan vokasional serta memperkasa belia dengan kemahiran bertaraf dunia.
"Kami berbesar hati atas kepercayaan BMW Group Malaysia terhadap Kerajaan Negeri Selangor melalui kerjasama dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara STDC dengan BMW Group Malaysia bersempena Sidang Kemuncak Selangor Techsphere 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif STDC, Dr Harizal Hamid berkata, kerjasama itu membuka peluang besar untuk pembangunan tenaga mahir automotif di Selangor.
"Melalui program BMW NextGT, pelatih STDC akan memperoleh latihan bertaraf dunia dan sijil profesional yang diiktiraf industri global, sejajar dengan aspirasi negeri untuk menjadi hab teknologi automotif masa depan," katanya.
Pelaksanaan program itu sekali gus menandakan langkah penting dalam memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia.
Melalui MoU berkenaan, tenaga pengajar automotif STDC akan menjalani latihan intensif berasaskan BMW Technician Qualification Framework yang meliputi teknologi automotif terkini, amalan penyelenggaraan profesional dan piawaian global BMW.
Setelah tamat latihan, mereka akan menyalurkan kepakaran tersebut kepada pelatih STDC dalam pelaksanaan program BMW NextGT, melahirkan graduan dengan kemahiran bertaraf industri, serta diiktiraf melalui BMW Professional Certificate.