KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyambut baik pengumuman Belanjawan 2026 yang disifatkan sebagai langkah strategik kerajaan dalam memperkukuh perdagangan antarabangsa serta memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk menembusi pasaran global.
Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata peruntukan yang disediakan akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan PMKS Malaysia dapat meluaskan pasaran dan meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa.
“Dengan pengumuman Belanjawan 2026, saya yakin kita mempunyai komitmen dan keupayaan untuk terus mempertingkat kedudukan perdagangan negara dari semasa ke semasa, sekali gus menjamin kemakmuran ekonomi untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menjelaskan bahawa MATRADE akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan Belanjawan 2026 dapat diterjemahkan kepada hasil eksport yang mampan dan berkualiti tinggi, sejajar dengan matlamat ekonomi Malaysia MADANI.
Antara inisiatif utama yang diumumkan termasuk Geran Pembangunan Pasaran (MDG) bernilai RM60 juta, pinjaman mudah RM500 juta melalui Bank EXIM bagi membantu syarikat yang terkesan dengan ketegangan tarif serta memperluas eksport, pembiayaan PKS Halal sehingga RM100 juta dan jaminan kerajaan (SJPP) hingga RM2 bilion untuk memperkasa industri halal.
Selain itu, SME Bank turut menyalurkan RM200 juta bagi membantu PKS Bumiputera menembusi pasaran eksport.
“Kita mesti berani. Dana ini menjadi pemangkin kepada syarikat Malaysia untuk ‘melangkah keluar’ dan menguasai pasaran berpotensi tinggi. Ia bukan sekadar mengukuhkan kedudukan sedia ada, tetapi membina jenama Malaysia yang diyakini di peringkat global melalui produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi,” jelas Reezal.
Beliau berkata, MATRADE kini memberi tumpuan kepada pasaran baharu berpotensi tinggi termasuk Amerika Latin, Asia Tengah dan Asia Selatan, yang masing-masing mencatat pertumbuhan eksport antara 4.7% hingga 26.3% dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
“Ini hasil usaha bersama kita semua. Walaupun Malaysia kini berada di tangga ke-25 sebagai pengeksport terbesar dunia menurut laporan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), kita tidak akan berhenti di sini,” katanya.
Reezal turut menegaskan bahawa MATRADE akan terus menjadi penghubung utama antara PMKS dan perdagangan global, selain memastikan jenama ‘Made by Malaysia’ (Buatan Malaysia) kekal sinonim dengan kualiti, kebolehpercayaan dan integriti.
“Misi kami kekal teguh mempromosikan eksport Malaysia agar syarikat tempatan berada di barisan hadapan pasaran global,” ujarnya sambil menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan terhadap sektor perdagangan antarabangsa.
“Ia membuktikan bahawa perdagangan antarabangsa kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi inklusif untuk rakyat,” tambahnya.