fb fb fb fb fb

Belanjawan 2025: Kaedah khusus bantu belia jamin peluang kerjaya

Khairul Muzammil pada sesi temu bual program Selamat Pagi Malaysia

KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Kaedah dan mekanisme yang lebih khusus perlu diwujudkan bagi membantu golongan belia meneroka potensi kerjaya mereka terutamanya para siswazah yang baharu menamatkan pengajian.

Menurut Presiden Idealis Kebangsaan, Khairul Muzammil Eshak, persaingan sengit di pasaran menyebabkan siswazah tidak mempunyai peluang kerjaya yang baik ditambah pula terikat dengan pinjaman pembelajaran yang perlu dilunaskan.

"Ramai golongan belajar seperti SPM, Diploma, Ijazah, Master, mereka tidak ada peluang pekerjaan. Mereka terpaksa bersaing sebagai contoh mereka di IPTA, IPTS dan itu belum sebut mereka yang belajar di IPTS yang orang sebut sebagai rumah kedai.

"Jadi kerajaan kena segera tangani masalah ini dan ini merupakan satu cadangan. Kita menyediakan satu kaedah baharu untuk membantu mereka dalam satu jangka masa. Sebagai contoh, kita bagi mereka elaun selama tiga bulan sebanyak RM300.000 sementara mereka nak dapatkan kerja," ujarnya selepas menghadiri sesi temu bual Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Sementara itu, Khairul berpendapat fokus kepada pembangunan golongan belia dalam Belanjawan 2025 penting demi masa depan negara yang lebih baik.

"Sebenarnya negara kita ke arah sebuah negara menua, jadi yang tinggal golongan belia ini sangat penting untuk negara kita dan belia saya lihat sejak lima hingga 10 tahun ini, mereka ini sebagai kumpulan yang sangat berperanan dalam negara ini dalam pelbagai bidang termasuk politik dan pendidikan.

"Justeru, saya berharap kerajaan boleh memberi tumpuan kepada belia dalam Belanjawan 2025 demi pembangunan insan, ekonomi dan pendidikan,"
katanya.

Trainee2