KUALA LUMPUR, 12 Disember – Langkah kerajaan mempercepatkan bayaran balik cukai berjumlah RM4 bilion dijangka memberi kelegaan ketara kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA), Mohd Azamanizam Baharon berkata pemulangan kredit cukai tersebut akan membantu melancarkan aliran tunai khususnya bagi usahawan kecil untuk menampung komitmen bulanan.
“Langkah ini merupakan tindakan yang tepat pada masanya bagi meredakan tekanan aliran tunai para PMKS. Pemulangan kredit cukai ini memberi ruang segera kepada rakan-rakan usahawan untuk menampung komitmen bulanan seperti gaji pekerja, pembelian stok, bayaran kepada pembekal serta kos utiliti,” katanya kepada RTM.
Mohd Azamanizam Baharon/Foto arkib/BERNAMA
Tambah Mohd Azamanizam, keputusan mempercepatkan pembayaran balik cukai turut membawa mesej jelas bahawa kerajaan komited memperbaiki kecekapan sistem percukaian negara.
“Tindakan pantas kerajaan ini menunjukkan kesediaan kerajaan untuk mengurangkan birokrasi, meningkatkan integriti sistem dan memulihkan keyakinan usahawan terhadap proses pentadbiran fiskal negara.
“Pada masa yang sama, PERDASAMA menegaskan bahawa suntikan tunai ini juga penting bagi membantu PMKS membuat persediaan lebih mantap dalam usaha pendigitalan dan pelaksanaan e-invois yang bakal dilaksanakan secara menyeluruh,” jelasnya.
Skim bayaran balik cukai itu turut disifatkan selaras dengan usaha kerajaan membina ekosistem perniagaan yang lebih moden, telus dan berdaya saing, sekali gus menyokong kestabilan operasi PMKS yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.