fb fb fb fb fb

Aktiviti ambil untung heret Bursa Malaysia rendah pada tengah hari

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 20 Ogos- Bursa Malaysia rendah pada tengah hari, dijejaskan oleh aktiviti pengambilan untung dalam saham utiliti dan kewangan, di samping prestasi bercampur-campur bursa serantau.

Pada rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 0.18 peratus atau 2.98 mata kepada 1,645.72 berbanding ditutup pada 1,648.70 sebelum ini.

Indeks itu dibuka 0.86 mata lebih tinggi kepada 1,649.56, turun naik antara 1,637.45 dan 1,660.29 pada sesi dagangan pagi.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 667 berbanding 365, manakala 440 kaunter tidak berubah, 1,008 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 2.38 bilion unit bernilai RM2.18 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata prestasi positif di Wall Street dalam tempoh semalaman dijangka mendorong minat belian dalam pasaran tempatan.

"Pemerolehan projek pusat data oleh IJM Corporation Bhd boleh meningkatkan sentimen dalam sektor pembinaan, hartanah, bahan binaan dan utiliti.

"Saham perbankan mungkin meneruskan trajektori meningkatnya di sebalik perolehan yang lebih kukuh, manakala kenaikan ringgit dijangka memberi manfaat kepada saham pengguna dan perkapalan," kata firma itu menerusi nota hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menokok 2.0 sen kepada RM10.62, Public Bank menambah 12.0 sen kepada RM4.66, Tenaga Nasional naik 10.0 sen kepada RM14.00, dan IHH Healthcare meningkat 5.0 sen kepada RM6.32.

YTL Corporation dan YTL Power masing-masing menyusut 27 sen kepada RM3.20 dan RM3.93 manakala CIMB Group berkurangan 17 sen kepada RM7.80, yang secara kolektif mengheret indeks utama merosot sebanyak 11.97 mata.

Bagi kaunter aktif, Top Glove menokok setengah sen kepada 99.5 sen, dan Velocity Capital tidak berubah pada 6.5 sen.

Sementara itu, My E.G. Services berkurangan 2.0 sen kepada 91 sen, Cape EMS rendah 2.5 sen kepada 39.5 sen dan Pestech International susut 1.5 sen kepada 19.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas rendah 22.30 mata kepada 12,457.53, Indeks FBM 70 berkurangan 8.61 mata kepada 17,948.60, Indeks FBM Emas Syariah rendah 9.03 mata kepada 12,405.44, Indeks FBMT 100 turun 17.35 mata kepada 12,111.02, dan Indeks FBM ACE merosot 43.67 mata kepada 5,357.48.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 53.74 mata kepada 19,161.28 manakala Indeks Perladangan menambah 4.35 mata kepada 7,158.93.

Sementara itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.39 mata kepada 183.52 manakala Indeks Tenaga susut 10.38 mata kepada 939.07.- BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN