KIEV, 7 April - Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky pada Rabu mengkritik ‘ketidakpastian’ Eropah dalam mengenakan sekatan terhadap Rusia dan mahu sekatan lebih ketat dikenakan terhadap Moscow.
Beliau mendakwa Rusia menyasarkan sektor pertanian Ukraine dan menjadikan kelaparan sebagai senjata.
"Depoh simpanan bahan bakar baharu kami telah diserang Rusia. Mereka juga telah menyekat semua pelabuhan kita termasuk kargo pertanian untuk dieksport," kata Zelensky ketika berucap di Parlimen Ireland, lapor Agensi Anadolu.
(Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy/Wikipedia)
Ukraine adalah pengeksport utama bahan makanan seperti gandum, jagung dan minyak bunga matahari.
Menurutnya, Ukraine adalah antara negara pembekal makanan terkemuka di dunia dan banyak negara akan mengalami kekurangan makanan yang boleh menyebabkan berjuta-juta orang kelaparan, terutamanya di Afrika Utara.
Rusia juga telah memusnahkan infrastruktur Ukraine dan "sengaja" mencetuskan kenaikan harga makanan.
Sehubungan itu, Zelensky menggesa agar sekatan lebih ketat dikenakan terhadap Rusia.
Konflik Rusia-Ukraine yang bermula pada 24 Februari telah menimbulkan kemarahan antarabangsa, dengan negara-negara Barat dan sekutu mereka melaksanakan sekatan kewangan terhadap Moscow.