fb fb fb fb fb

YouTube perluas sekatan terhadap saluran yang menyokong pencerobohan Ukraine

(FOTO GOOGLE)

ANKARA, 12 Mac -  YouTube pada Jumaat mula memperluas sekatan yang dikenakan terhadap saluran media Rusia, kepada saluran-saluran lain yang turut menyokong pencerobohan di Ukraine.

Saluran YouTube RT dan Sputnik mula disekat di seluruh Eropah minggu lepas, lapor Agensi Anadolu.

"Berkuat kuasa serta-merta kami mengeluarkan kandungan berkaitan tindakan Rusia di Ukraine yang melanggar garis panduan dan dasar YouTube," menurut YouTube menerusi akaun Twitternya, sambil menambah "Garis panduan komuniti melarang penafian kandungan dan meremehkan peristiwa keganasan sebenar yang berlaku," katanya.

(FOTO GOOGLE)

Pengemaskinian dasar berkuat kuasa serta-merta tetapi sistem YouTube mengambil masa untuk menyekat saluran sepenuhnya.

Kandungan yang disekat termasuk penafian berlakunya pencerobohan wilayah atau dakwaan bahawa serangan Rusia di Ukraine merupakan operasi pengaman.

YouTube turut mengeluarkan lebih 1,000 saluran dan lebih 15,000 video daripada platformnya berikutan pelanggaran dasar, seperti ucapan kebencian, maklumat salah serta kandungan grafik susulan konflik Rusia-Ukraine.

Syarikat induknya, Google telah menghentikan paparan kandungan pengiklan yang berpangkalan di Rusia di semua platform dan rangkaian global Google.

Presiden Hal Ehwal Global Google, Kent Walker sebelum ini berkata syarikat gergasi internet itu telah "memberhentikan seketika aktiviti komersial kami di Rusia" tetapi perkhidmatan percuma seperti enjin carian dan YouTube terus beroperasi di sana.

 

 

 

 

 

 

 

Media Baharu