fb fb fb fb fb

Wanita Jepun maut makan belut panggang, 140 sakit

FOTO HIASAN

TOKYO, 30 Julai- Seorang wanita maut dan lebih 140 orang sakit di Jepun dalam insiden keracunan makanan selepas makan 'bento' (set kotak makanan) berisi belut panggang yang didakwa telah tercemar.

Mangsa maut, 90, dilapor membeli 'bento' makan tengah hari itu dari sebuah kedai serbaneka iaitu Keikyu Department Store di Yokohama, minggu lepas.

Presiden kedai, Shinji Kaneko memberitahu siasatan pegawai kesihatan telah mengesan sejenis bakteria dipanggil 'staphylococcus aureus' dalam produk makanan terbabit.

"Kami memandang serius apa yang berlaku dan amat menyesalinya. Kami akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam penyiasatan pihak berkuasa kesihatan awam," kata Kaneko.

Dalam masa sama, Kaneko turut mengeluarkan permohonan maaf atas insiden itu yang mengakibatkan kehilangan nyawa serta ratusan pelanggan mengalami muntah dan cirit-birit.

Kaneko juga mengucapkan takziah sambil menunduk "sedalam-dalamnya" kepada keluarga mangsa ketika ditemui pemberita semalam.

Restoran Isesada berpangkalan di Tokyo, adalah pihak yang bertanggungjawab memasak produk belut bagi Keikyu Department Store.

Belut panggang merupakan makanan istimewa musim panas yang popular di Jepun. -AFP

SITI AISHAH MD ISA