ABU DHABI, 12 September - Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melancarkan inisiatif kemanusiaan segera pada Rabu untuk memindahkan 97 orang yang cedera parah dan pesakit dari Semenanjung Gaza.
Agensi Berita Emirates (WAM) melaporkan bahawa pemindahan itu termasuk pesakit kanser yang memerlukan rawatan menyeluruh bersama 155 ahli keluarga mereka dan 142 kanak-kanak, ke Abu Dhabi dari lapangan terbang Ramon, melalui lintasan Karam Abu Salam.
“Pemindahan ini yang merupakan penerbangan kedua berlepas dari lapangan terbang Ramon, menekankan usaha UAE untuk menyediakan rawatan perubatan maju kepada rakyat Palestin yang cedera.
“Inisiatif baharu ini mencerminkan komitmen teguh UAE untuk menyokong rakyat Palestin semasa situasi buruk yang dihadapi di Gaza.
"Kami akan terus bekerjasama dengan rakan antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk memimpin dan meningkatkan usaha bagi mengurangkan bencana kemanusiaan," kata Reem Ebrahim Al Hashimy, Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa.
Sementara itu, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus, Ketua Pengarah WHO, berkata pihaknya berterima kasih kepada UAE atas sokongan dalam pemindahan pesakit dan mereka yang cedera dari Semenanjung Gaza untuk menerima rawatan segera.
"Kami terus berharap inisiatif ini dan yang lain akan menunjukkan apa yang mungkin dan membolehkan lebih banyak pemindahan dilakukan untuk lebih ramai orang. Sekali lagi, WHO menyeru gencatan senjata," katanya.
Sejak awal krisis, UAE melaksanakan usaha untuk meningkatkan tindak balas kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang cedera dan sakit serta menyokong mereka dalam keadaan kritikal.
Sehubungan itu, UAE memindahkan 1,655 pesakit bersama ahli keluarga mereka sebagai sebahagian daripada inisiatif terdahulu.
Dengan penerbangan hari ini, jumlah yang dipindahkan mencecah lebih 1,917 pesakit dan ahli keluarga.
Selain itu, UAE menyediakan lebih 40,000 tan bantuan segera termasuk makanan, perubatan, dan bekalan bantuan melalui 10 kapal, 1,300 trak, 316 penerbangan dan 104 penghantaran udara sebagai sebahagian daripada kempen “Bird of Goodness”, menjadikan jumlah bantuan kemanusiaan yang dihantar ke utara Gaza melalui penghantaran udara melebihi 3,450 tan. - BERNAMA