fb fb fb fb fb

Tokyo gesa rakyatnya tinggalkan Lubnan

Yoshimasa Hayashi / FOTO REUTERS

TOKYO, 27 September- Tokyo menggesa rakyatnya untuk meninggalkan Lubnan, kata jurucakap tertinggi kerajaan pada Jumaat.

Laporan media menyebut rancangan untuk menghantar pesawat tentera bagi memindahkan rakyatnya di negara itu sedang dijalankan.

Pengeboman oleh Israel telah membunuh ratusan orang minggu ini di Lubnan, terutamanya di kubu kuat Hezbollah, manakala kumpulan itu membalas dengan serangan roket.

"Kami sedang memeriksa keselamatan warga Jepun yang tinggal di Lubnan, serta menggesa mereka meninggalkan negara itu sementara penerbangan komersial biasa masih beroperasi," kata ketua setiausaha kabinet Yoshimasa Hayashi pada Jumaat.

Sementara itu, media Jepun melaporkan bahawa persiapan sedang dibuat untuk kerajaan menghantar pesawat tentera ke Jordan, di mana ia akan bersiap sedia.

Pesawat pengangkut C-2 akan digerakkan untuk memindahkan kira-kira 50 warga Jepun yang masih berada di Lubnan, lapor beberapa saluran media termasuk Kyodo News, yang memetik sumber kerajaan yang tidak dinamakan.

Menteri Luar Jepun, Yoko Kamikawa, berkata pada Rabu bahawa Tokyo "sangat bimbang" mengenai peningkatan ketegangan antara Israel dan Hezbollah.

Jepun, tambahnya, menggesa semua pihak untuk "berhati-hati sepenuhnya untuk mengelakkan peningkatan ketegangan.

Israel telah menolak desakan sekutu untuk gencatan senjata selama 21 hari di Lubnan dan berjanji untuk terus berperang dengan militan Hezbollah.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE