fb fb fb fb fb

Tiga suspek ditahan susulan penemuan tiga mayat pelarian Rohingya dalam trak

Pada 17 Oktober lalu, tiga pelarian Rohingya ditemukan maut akibat lemas dalam trak di kawasan hutan di wilayah Chumphon, Thailand.

BANGKOK, 2 November – Polis Thailand menahan tiga individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan manusia susulan kematian tiga pelarian Rohingya yang mati akibat lemas dalam trak di Thailand.

Menurut kenyataan polis, tiga pelarian Rohingya tersebut meninggal dunia pada 17 Oktober lalu, manakala enam lagi cedera selepas 26 orang dipaksa masuk ke dalam dua kenderaan untuk menyeberangi sempadan Thai-Myanmar.

Jurucakap Biro Siasatan Pusat Thailand (CIB ) berkata suspek utama, Somkiat atau dikenali sebagai "Bang Golf", 30 tahun, ditahan di wilayah Chanthaburi pada Rabu.

Dua lagi suspek, Nattawut dan Pongpitsanu, masing-masing berusia 20 tahun, ditahan di Bangkok pada hari yang sama.

Mereka ditahan atas tuduhan "menyeludup pendatang haram ke dalam negara", menurut kenyataan polis.

Polis menambah bahawa Somkiat bekerjasama dengan rangkaian penyeludupan lain di negara itu dan ditawarkan sekitar 3,000 baht ($88) bagi setiap pelarian yang berjaya diseludup.

Ratusan ribu Rohingya melarikan diri dari Myanmar ke Bangladesh pada 2017 semasa tindakan keras tentera yang kini menjadi subjek kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Tentera Myanmar merampas kuasa dalam kudeta pada 2021, dan tiga tahun peperangan sejak itu telah menyebabkan jutaan orang di negara tersebut kehilangan tempat tinggal.

Warga Rohingya, yang majoritinya beragama Islam, mengalami penindasan teruk di barat Myanmar susulan konflik yang berpanjangan.

Keadaan itu menyebabkan ribuan daripada mereka mempertaruhkan nyawa setiap tahun untuk cuba menyeludup masuk secara haram ke negara Malaysia atau Indonesia melalui Thailand. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN