MEXICO, 4 Mei - Tiga mayat yang ditemui di Baja California di Mexico berkemungkinan besar adalah warga Amerika dan dua pelancong Australia yang hilang sejak minggu lalu, kata seorang pegawai kanan wilayah itu pada Sabtu.
Ketiga-tiga mereka sebelum ini dilaporkan bercuti untuk melakukan aktiviti luncur air di Ensenada kira-kira 90 minit ke selatan sempadan Amerika Syarikat (AS) - Mexico.
"Ketiga-tiga mayat berkemungkinan besar milik Callum, 33, dan Jake Robinson, 30 dua bersaudara dari Australia, serta warga Amerika Carter Rhoad, 30," kata Peguam Negara Baja California, Maria Elena Andrade.
Andrade berkata walaupun ketiga-tiga mayat itu ditemui dalam keadaan sudah hampir reput, namun berdasarkan ciri-ciri fizikal ia kemungkinan milik tiga pelancong itu.
Pihak berkuasa Mexico sedang menjalankan ujian forensik selepas menemui mayat pada Jumaat di dalam sebuah perigi.
Baja California merupakan salah satu negeri paling bahaya di Mexico.
Jabatan Negara AS menasihatkan rakyat Amerika untuk mempertimbangkan semula perjalanan ke negeri itu berikutan dikhuatiri terdedah menjadi mangsa jenayah dan penculikan.
Ketiga-tiga peluncur itu kali terakhir dilihat pada 27 April dan dilaporkan hilang beberapa hari kemudian.
Pihak berkuasa dengan bantuan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS melakukan pencarian selepas menerima laporan mengenai kehilangan mereka daripada ahli keluarga mangsa.
Setakat ini tiga suspek ditahan bagi membantu siasatan, kata pegawai.
Sementara itu sebuah kenderaan terbakar dipercayai digunakan oleh tiga peluncur itu turut ditemui di kawasan itu.
Menerusi hipotesis awal pihak berkuasa Mexico, ketiga-tiga mangsa ditembak dan dibuang ke dalam perigi selepas suspek gagal dalam cubaan merampas kenderaan mangsa. - REUTERS