fb fb fb fb fb

Tiga maut, lapan cedera dalam insiden bom kereta di Colombia

FOTO HIASAN

BOGOTA, 23 Jun- Tiga orang maut, termasuk seorang anggota polis manakala lapan yang lain cedera dalam kejadian pengeboman kereta di wilayah Colombia di mana kumpulan pemberontak berhaluan kiri kekal aktif.

“Bahan letupan yang diletakkan di dalam kenderaan persendirian telah diletupkan, menyebabkan kematian pegawai polis Santiago Moreno Rios bersama seorang pengusaha kedai dan seorang orang awam,” kata kementerian pertahanan negara itu di rangkaian sosial X.

Ia berkata dua lagi pegawai polis dan enam orang awam cedera dalam letupan pada Jumaat di bahagian barat daya Narino.

Insiden itu berlaku di kawasan di mana kumpulan penentang FARC yang dipanggil Estado Mayor Central (EMC) beroperasi, menurut pihak berkuasa.

EMC dan Segunda Marquetalia adalah dua kumpulan pemberontak yang enggan melucutkan senjata apabila FARC Angkatan Bersenjata Revolusi Colombia, pernah menjadi organisasi gerila paling berkuasa di benua itu menandatangani perjanjian damai pada 2016.

Serangan pada hari Jumaat berlaku pada hari yang sama pemberontak di wilayah Cesar membunuh seorang anggota polis dan mencederakan seorang lagi.

Presiden Gustavo Petro menyatakan solidariti dengan keluarga mangsa kedua-dua serangan dan berkata "mereka yang memilih jalan perang berbanding keamanan akan terus berdepan dengan bebanan undang-undang."

Serangan itu berlaku sebelum rundingan antara kerajaan Colombia dan wakil Segunda Marquetalia.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE