BANGKOK, 16 Julai- Pengecualian visa 60 hari Thailand untuk 93 negara, termasuk Malaysia, bertujuan untuk melonjakkan pelancongan, memudahkan perjalanan dan merangsang ekonomi negara.
Walau bagaimanapun, tarikh berkuat kuasa langkah baharu ini akan diumumkan setelah selesai prosedur terakhir undang-undang.
Jurucakap Kerajaan Chai Wacharonke berkata Perdana Menteri Srettha Thavisin yakin bahawa langkah ini akan memudahkan pelancong untuk melancong ke Thailand.
Beliau berkata dasar mesra pelancong kerajaan telah berjaya, dibuktikan dengan peningkatan ketara dalam kedatangan pelancong dan hasil yang dijana oleh industri pelancongan.
"Perdana Menteri percaya bahawa langkah visa ini akan memberi kesan besar, menjadikan Thailand destinasi pelancongan utama, mencipta pekerjaan dan mata pencarian, serta memacu ekonomi untuk membangunkan kehidupan rakyat Thailand," katanya.
Chai juga berkata bahawa United States News dan akaun pengguna di X bernama World of Statistics, yang menyediakan maklumat mengenai statistik, tinjauan, dan kedudukan dalam pelbagai bidang, telah meletakkan Thailand sebagai negara keempat paling cantik daripada lebih 87 negara di seluruh dunia, di belakang New Zealand, Greece, dan Itali.
Beliau berkata kedudukan ini berdasarkan respons tinjauan global yang menonjolkan negara-negara dengan pemandangan yang paling indah dan salah satu sebab yang diberikan adalah bahawa Thailand adalah salah satu negara yang paling banyak dikunjungi di dunia, walaupun pelancongan hanya menyumbang tujuh peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK).
Pada Mei lepas, Thailand mengumumkan rancangan untuk memberikan pengecualian visa 60 hari untuk warganegara dari 93 negara dan wilayah, serta visa semasa ketibaan untuk warganegara dari 31 negara dan wilayah.
Untuk melengkapkan kedudukan terkini oleh World of Statistics sebagai negara keempat paling cantik di dunia, Srettha menulis di X, "kami akan segera memberikan pengecualian visa 60 hari untuk warganegara dari 93 negara dan wilayah dan visa semasa ketibaan untuk warganegara dari 31 negara dan wilayah."
"Selain itu, di bawah wawasan ‘Ignite Thailand’, kami memberikan visa 180 hari untuk nomad digital dan mereka yang melancong ke Thailand bagi mengikuti kursus Muay Thai dan masakan Thai, serta untuk seminar, menganjurkan festival muzik dan pameran seni, dan tujuan rawatan perubatan," tulisnya di X, pada Isnin.
Awal bulan ini, statistik daripada Kementerian Pelancongan dan Sukan menunjukkan bahawa Thailand telah menerima 17.5 juta pelancong asing dan menjana perolehan kira-kira 825.541 bilion baht (RM106.22 bilion) untuk separuh pertama tahun ini.
Ketibaan dari China mendahului senarai ketibaan pelancong dengan 3.43 juta, diikuti oleh Malaysia (2.43 juta) dan India (1.04 juta) dalam tempoh yang sama. - BERNAMA