fb fb fb fb fb

Thailand sasar pelabur Jepun, bakat digital, tingkatkan ekonomi digital

Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin/REUTERS

BANGKOK, 18 Disember- Thailand berharap dapat menarik pelabur Jepun dan bakat digital terutamanya membabitkan pusat data dan 'cloud services' demi meningkatkan ekonomi digitalnya.

Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin turut menyokong Dialog Tenaga dan Perindustrian serta berharap dapat menjalin bekerjasama dengan Jepun di bawah rangka kerja Pelepasan Sifar Asia (AZEC) bagi mencapai matlamat iklim yang disasarkan.

Bagi menarik pelaburan yang lebih besar, Srettha turut menyampaikan hasrat Thailand memohon keahlian dalam Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

“Thailand komited untuk mengekalkan iklim pelaburan yang menggalakkan bagi pelabur Jepun. Komitmen ini dizahirkan melalui beberapa langkah termasuk pengecualian visa untuk tujuan berkaitan perniagaan jangka pendek.

“Kerajaan Thailand juga telah menyeru kerajaan Jepun untuk memberikan sokongan kepada sektor swasta tempatan,” katanya semasa pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Jepun Fumio Kishida semasa Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun di sini, pada Ahad.

Sementara itu, Jurucakap kerajaan Chai Wacharonke berkata berkata kedua-dua perdana menteri itu turut membincangkan situasi Myanmar, termasuk isu kemanusiaan.

“Kedua-dua perdana menteri bersetuju bahawa semua pihak harus menamatkan keganasan dan berusaha menyelesaikan masalah melalui dialog,” katanya.- BERNAMA

ROSLINA BINTI DIN