BANGKOK, 22 Januari- Pihak berkuasa Thailand menafikan dakwaan rancangan segera untuk menghantar pulang 48 Uyghur yang ditahan di pusat tahanan negara itu ke China.
Ini selepas pakar Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran, mereka berisiko menghadapi penyeksaan jika dihantar pulang.
Kumpulan Uyghur itu melarikan diri dari China lebih sedekad lalu, berikutan dakwaan pencabulan hak asasi manusia yang serius terhadap kumpulan etnik itu di wilayah Xinjiang.
Pegawai kanan Jabatan Imigresen Thailand berkata bahawa keputusan mengenai perkara tersebut terletak di bawah Majlis Keselamatan Negara dan sehingga kini tiada arahan dikeluarkan.
"Keputusan akan dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara. Setakat ini, tiada arahan (untuk menghantar mereka pulang)," kata pegawai tersebut kepada AFP.
Kenyataan itu disokong oleh Ketua Polis Negara, Kitrat Phanphet menerusi kenyataannya pada Isnin lalu, bahawa polis dan Jabatan Imigresen Thailand belum menerima sebarang laporan mengenai penghantaran pulang.
Kumpulan Uyghur berkenaan telah ditahan sejak 2013 dan 2014 selepas menyeberang sempadan Thailand untuk mencari perlindungan.
Menurut pakar PBB, mereka telah ditahan tanpa komunikasi selama lebih sedekad tanpa akses kepada peguam atau keluarga.
PBB menggesa Thailand membantu mereka dengan menyediakan prosedur suaka dan bantuan kemanusiaan.
"Pandangan kami ialah mereka tidak seharusnya dihantar pulang ke China. Kami bimbang mereka berisiko menghadapi bahaya yang tidak dapat diperbaiki," kata kenyataan tersebut.
Laporan PBB pada 2022 mendakwa terdapat penyeksaan, buruh paksa dan penahanan sewenang-wenangnya secara besar-besaran di pusat yang disebut Beijing sebagai pusat latihan vokasional.
China bagaimanapun menafikan dakwaan itu, mengatakan langkah di Xinjiang adalah untuk memerangi ekstremisme.- AFP