DAVOS, 22 Januari- Terusan Panama bukanlah hadiah atau milik Amerika Syarikat, tegas Presiden Panama, Jose Raul Mulino, sebagai respon kepada ancaman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk 'mengambilnya semula'.
“Kami menolak sepenuhnya kenyataan Trump. Pertama, kerana ia tidak berasaskan fakta, dan kedua, kerana Terusan Panama adalah hak mutlak Panama dan akan kekal milik Panama,” ujar Mulino dalam satu sesi panel di Forum Ekonomi Dunia, Davos, Switzerland.
Trump sebelum ini, dalam ucapan perasmiannya, mendakwa bahawa China sedang 'mengawal' Terusan Panama menerusi kehadiran mereka yang semakin kerap di sekitar laluan air strategik itu.
“Kami tidak memberikannya kepada China. Kami memberikannya kepada Panama dan kami akan mengambilnya semula,” kata Trump.
Terusan Panama, yang mula beroperasi pada tahun 1914 dan dibina oleh Amerika Syarikat, telah diserahkan kepada Panama pada 31 Disember 1999 berdasarkan perjanjian yang ditandatangani dua dekad sebelumnya.
Sebagai reaksi kepada kenyataan Trump, Panama telah membawa perkara tersebut ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), merujuk kepada artikel dalam Piagam PBB yang melarang sebarang ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap keutuhan wilayah atau kemerdekaan politik mana-mana negara anggota.
China turut menafikan dakwaan tersebut dengan menegaskan bahawa mereka tidak pernah campur tangan dalam urusan Terusan Panama.
Presiden Mulino menegaskan bahawa Panama tidak tergugat dengan kenyataan itu dan tidak akan teralih tumpuan daripada matlamat nasional.
“Kita tidak boleh mengabaikan prinsip undang-undang antarabangsa hanya untuk memenuhi kehendak tertentu,” katanya.
Bagaimanapun, beliau melihat situasi itu sebagai peluang untuk mengukuhkan kerjasama dengan Amerika Syarikat dalam isu-isu lain yang menjadi kepentingan bersama, termasuk keselamatan dan migrasi, memandangkan Panama turut berdepan cabaran di sempadan dengan Colombia.-AFP