IRAQ, 8 Oktober- Serangan udara Israel di selatan Lubnan memaksa Fouad Youssef, isterinya mengandung, Lubana Ismail bersama dua anaknya lagi melarikan diri daripada kampung Ramadi di pinggir bandar Tyre, beberapa hari sebelum Ismail melahirkan.
"Pada awalnya, kami berpindah ke Tyre, satu serangan telah disasarkan betul-betul di sebelah kami. Kemudian, kami berpindah ke Beirut.
"Ketika dalam perjalanan, satu lagi serangan disasarkan berdekatan kedudukan kami dan kelihatan runtuhan batu menimpa ke atas kami.
"Serangan ini jelas sengaja untuk menyasarkan orang awam. Kenapa Israel menyasarkan orang yang kehilangan tempat tinggal? Kami tidak dapat tidur disebabkan serangan terbabit," soal Youssef.
Youssef berkata sepanjang dua hari hilang tempat berteduh, dia sedaya upaya mencari hospital untuk membolehkan isterinya dapat bersalin dengan bantuan perubatan.
Namun, usaha itu gagal kerana terlalu ramai yang syahid dan cedera akibat serangan udara Zionis.
"Sepanjang dua hari berpindah-randah, saya cuba bawa isteri saya ke sebuah hospital kerana proses kelahiran memerlukan penjagaan rapi.
"Di Lubnan, disebabkan angka kematian dan cedera itu terlalu tinggi menyebabkan tiada kekosongan untuk keadaan isteri saya.
"Ini antara sebab kenapa saya datang ke Iraq selepas dicadangkan oleh bapa saya," ujarnya.
Isteri Youssef, Ismail telah selamat melahirkan anak ketiga mereka di sebuah hospital di Iraq yang diberi nama Zahraa.
Zahraa dilahirkan dalam kesihatan yang baik, namun perlu dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi untuk membantu masalah pernafasan.- REUTERS