AMMAN, 13 Mei- Angkatan Tentera Jordan mengumumkan penganjuran latihan ketenteraan tahunan 'Eager Lion' bermula semalam.
'Eager Lion' disertai pasukan tentera darat, laut, dan udara dari 33 negara, termasuk Amerika Syarikat (AS), Perancis dan Britain serta 10 negara Arab lain.
Jurucakap tentera Kolonel Mustafa al-Hiyari menerusi satu sidang media memberitahu, latihan yang dijadualkan berakhir pada 23 Mei meliputi latihan anti-keganasan dan pertahanan udara.
Beliau berkata, 'Eager Lion' bertujuan untuk membantu memerangi organisasi pengganas, dan bertindak balas terhadap percambahan dron, dan senjata biologi, kimia dan nuklear pemusnah besar-besaran serta bencana besar.
"Pasukan dari 10 negara Arab dan 22 negara asing selain Jordan mengambil bahagian, bertujuan untuk menghadapi ancaman yang muncul dan merentas sempadan era ini", kata Hiyari,
Latihan itu, yang disifatkan terbesar sejak edisi Eager Lion yang pertama pada 2011 menurut Hiyari, kebetulan diadakan pada masa ketegangan serantau yang memuncak di Semenanjung Gaza.
Tetapi jurucakap itu berkata bahawa latihan berkenaan tidak ada kaitan dengan perkembangan di Gaza.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan bilangan tentera yang mengambil bahagian.
Beberapa negara yang mengambil bahagian termasuk Poland, Norway, Romania, Jepun dan Australia bersama beberapa negara Arab seperti Mesir, Arab Saudi, Iraq, Maghribi dan Lubnan.
Eksesais 'Eager Lion' sebelum ini diadakan pada September 2022 membabitkan kira-kira 2,200 askar Jordan, 1,700 dari Amerika Syarikat dan 400 lagi dari 27 negara lain.
Jordan pada 1994 menandatangani perjanjian damai dengan negara jiran Israel dan merupakan sekutu serantau utama bagi Washington, yang mempunyai pasukan di Asia Barat sebagai sebahagian daripada gabungan antijihad antarabangsa.-AFP