GENEVA, 18 September- Tentera Israel bertindak melepaskan tembakan ke arah konvoi bantuan yang dalam perjalanan pulang dari misi bantuan di utara Gaza.
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, insiden itu berlaku Sabtu lalu.
Beliau berkata konvoi yang diketuai oleh WHO itu, telah mendapat pelepasan dan melintasi pusat pemeriksaan tentera Israel.
"Konvoi itu menemui dua kereta kebal Israel. Tembakan dilepaskan dari kereta kebal berhampiran konvoi. Nasib baik tiada siapa yang cedera. Ini tidak boleh diterima", kata Tedros Adhanom Ghebreyesus menerusi platform X.
Insiden berlaku seminggu selepas PBB mendakwa konvoi yang membawa petugas program vaksinasi polio di Gaza, diancam dengan senjata api dan ditahan di pusat pemeriksaan tentera zionis.
Semasa pertemuan itu, dalam konteks kempen vaksinasi besar-besaran selepas kes pertama polio dalam tempoh 25 tahun didaftarkan di wilayah Palestin, tembakan dilepaskan dan kenderaan konvoi dirempuh jentolak, kata jurucakap PBB Stephane Dujarric minggu lalu.
"Insiden dan kelakuan tentera Israel meletakkan nyawa kakitangan kami dalam bahaya," katanya.
"Adalah penting bagi tentera Israel mengambil langkah untuk melindungi kakitangan dan aset kemanusiaan untuk memudahkan kerja mereka.
Dalam catatannya, Tedros memuji pasukan konvoi, walaupun berdepan risiko keselamatan telah berjaya sampai ke Al-Shifa, hospital terbesar Gaza, untuk menghantar bekalan ke bilik kecemasan.
“Bekalan juga dihantar untuk menyokong kemudahan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin di utara termasuk untuk rawatan penyakit tidak berjangkit,” katanya.
"Pasukan itu juga memudahkan penggiliran pasukan perubatan kecemasan.
"Mereka adalah harapan terakhir untuk kelangsungan hidup bagi dua juta orang yang sangat memerlukan," katanya.
Sementara itu, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, kendalian Hamas, serangan tentera Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 41,252 orang di Gaza.-AFP