KAHERAH, 22 Mei- Kereta kebal Israel terus mara ke pinggir daerah yang sesak di Rafah pada Rabu. Kejadian itu disifatkan dahsyat berikutan pengeboman yang dilancarkan oleh Israel ke atas Gaza bulan ini.
Serangan Israel ke atas Rafah di selatan Gaza menyebabkan ratusan ribu penduduk melarikan diri dari kawasan perlindungan itu. Kira-kira separuh daripada 2.3 juta penduduk berlindung di kawasan itu.
Serangan itu juga memutuskan laluan akses utama untuk bantuan ke Gaza sekali gus mencetuskan kebimbangan antarabangsa terhadap penduduk di sana.
Tentera Israel perlahan-lahan bergerak ke pinggir timur Rafah sejak awal bulan.
Penduduk berkata kereta kebal mengambil kedudukan baharu pada Rabu menuju ke lokasi lebih jauh ke barat berbanding sebelum ini namun belum memasuki daerah itu kerana pertempuran sengit.
Penduduk Palestin berkata dron Israel melepaskan tembakan ke pinggir bandar Yibna dan telah melepaskan tembakan ke atas bot nelayan di pantai Rafah menyebabkan sebahagiannya terbakar.
"Israel meneruskan serangan sepanjang malam menggunakan dron, helikopter, pesawat perang, dan kereta kebal," kata seorang penduduk Rafah yang enggan namanya disiarkan.
"Kereta kebal menuju ke tenggara, pergerakan masih terhad tetapi mereka tetap mara semasa perang sepanjang malam," katanya kepada Reuters melalui aplikasi sembang.
Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Gaza, menganggarkan lebih 800,000 penduduk telah melarikan diri dari Rafah sejak Israel mula menyasarkan bandar itu pada awal Mei.
Di bandar Zawayda di tengah Gaza, serangan udara Israel membunuh tujuh individu dalam satu rumah, kata pegawai perubatan.
Di pinggir utara Gaza iaitu di Jabalia yang menempatkan lapan kem pelarian turut diserang selama dua minggu.
Pegawai kesihatan dan penduduk berkata, seluruh daerah kediaman telah musnah dan berpuluh-puluh orang terbunuh dalam serangan itu.- REUTERS