fb fb fb fb fb

Israel edar risalah, arah penduduk tinggalkan Gaza

Sebuah kereta kebal tentera Israel berada di kawasan berhampiran sempadan selatan Israel dengan Gaza/ AFP

GAZA, 10 Julai- Tentera Israel menggugurkan ribuan risalah di Kota Gaza bagi menggesa semua penduduk untuk berpindah, ketika serangan semakin sengit di bandar utama wilayah Palestin, menurut seorang wartawan AFP.

Risalah itu diedarkan kepada semua penduduk di Bandar Gaza serta menetapkan laluan keluar dari bandar itu ke kawasan selamat yang ditetapkan, terletak lebih jauh ke selatan dan memberi amaran kawasan bandar akan kekal sebagai zon perang berbahaya apabila tentera Israel bertindak menyerang kumpulan pejuang Hamas.

Israel mengeluarkan arahan pemindahan rasmi pertama pada 27 Jun lalu, dan dua lagi pada hari berikutnya.

Menerusi risalah itu, tentera Israel berkata penduduk Gaza akan dapat menggunakan dua laluan selamat dengan cepat, tanpa pemeriksaan dari Gaza ke tempat perlindungan di Deir Al-Balah dan Al-Zawiya.

Berpuluh-puluh ribu penduduk telah meninggalkan Kota Gaza sejak tentera Israel melancarkan serangan terbaru di daerah Shujaiya timur bandar itu dan sejak itu, pertempuran darat berlaku tanpa henti.

Dua arahan terbaharu itu melibatkan daerah tengah dan barat iaitu tempat kereta kebal dan tentera Israel telah bergerak masuk pada minggu ini.

Sementara itu, tentera Israel juga telah menyasarkan kumpulan Hamas yang didakwa beroperasi dari dalam bangunan agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Serangan zionis telah menyasarkan Deir Al-Balah, iaitu kawasan penduduk Palestin telah digesa untuk berpindah untuk keselamatan.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan kebimbangan terhadap arahan Israel berhubung pemindahan penduduk Palestin untuk pergi ke zon yang berlakunya pertempuran.

Menurut Kementerian Kesihatan kendalian Hamas, serangan Israel meyebabkan seramai 38,243 orang terkorban di Gaza.-AFP

ROSLINA BINTI DIN