fb fb fb fb fb

Taufan Shanshan dijangka badai selatan Jepun

Imej daripada satelit "Himawari" Agensi Meteorologi Jepun diedarkan hari ini menunjukkan Taufan Shanshan bergerak mendekati kepulauan Amami. (Laluan Taufan Shanshan, setakat semalam)/ AFP

TOKYO, 27 Ogos- Taufan kuat yang sedang menuju ke selatan Jepun membawa hujan lebat telah menjejaskan jadual perjalanan kereta api laju serta penerbangan domestik dan antarabangsa hari ini.

Taufan Shanshan dilapor sedang bergerak ke arah kepulauan Amami selatan membawa angin ribut berkelajuan sehingga 216 kilometer (135 batu) sejam.

Agensi Meteorologi Jepun turut menggesa penduduk untuk "berpindah dari tempat berbahaya" susulan amaran hujan lebat dan potensi tanah runtuh di tengah Shizuoka, serta ombak tinggi di wilayah selatan Amami.

Menurutnya lagi Taufan Shanshan dijangka membelok ke arah pulau utama selatan Kyushu akhir minggu ini.

Ia berlaku susulan Taufan Ampil yang telah mengganggu ratusan penerbangan dan kereta api bulan ini.

Hujan lebat dan angin kencang hari ini pula menyebabkan perkhidmatan kereta api laju digantung di tengah Hamamatsu dan Toyohashi sebelum ia disambung semula pada pukul 9.15 pagi.

"Terdapat juga kelewatan pada bahagian lain membabitkan rangkaian berkelajuan tinggi dan kereta api tempatan," menurut pengendali Kereta Api Jepun Tengah dan Kereta Api Jepun Barat.

Sementara itu Japan Airlines memaklumkan pembatalan 116 penerbangan domestik pada Selasa dan Rabu, serta enam penerbangan antarabangsa susulan ancaman Taufan Shanshan. -AFP

SITI AISHAH MD ISA