fb fb fb fb fb

Ribut Sara melanda Honduras, bawa ancaman banjir

Sebuah kereta meredah kabus tebal menjelang ketibaan ribut tropika Sara di Siguatepeque, Honduras pada 14 November 2024/AFP

TEGUCIGALPA, 15 November- Ribut tropika Sara membawa hujan lebat yang berpotensi menyebabkan banjir besar apabila ia melanda kawasan pantai timur laut Honduras pada Khamis.

Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (NHC) memberi amaran bahawa Sara boleh membawa banjir kilat dan tanah runtuh yang mengancam nyawa dan berpotensi menjadi bencana sepanjang hujung minggu.

Agensi Pengurusan Kecemasan Honduras (COPECO) telah meletakkan empat wilayah Caribbean – Islas de la Bahia, Atlantida, Colon dan Gracias a Dios – dalam status amaran merah selama 72 jam dan menggesa penduduk untuk berpindah dari kawasan berbahaya.

Presiden Xiomara Castro menyatakan perkhidmatan kecemasan telah diaktifkan untuk menangani "kerosakan yang telah berlaku akibat hujan" sambil memberi amaran bahawa kesan Sara "boleh menjadi peristiwa bencana."

"Rakyat perlu memberi perhatian kepada arahan dan berpindah ke tempat perlindungan yang selamat, jauh dari sungai," katanya dalam kenyataan di platform X.

NHC turut melaporkan hujan lebat daripada ribut itu akan menyebabkan banjir kilat yang mengancam nyawa dan tanah runtuh di Belize, El Salvador, Guatemala timur, Nicaragua barat dan negeri Quintana Roo di Mexico.

Amaran juga telah dikeluarkan di Panama dan Costa Rica yang mencatatkan beberapa kematian berkaitan ribut dalam minggu-minggu kebelakangan ini.

Sara dijangka bergerak perlahan di sepanjang pantai utara Honduras dalam beberapa hari mendatang dengan beberapa kawasan dijangka menerima hujan setebal 76 sentimeter.

Ribut tersebut dijangka menghampiri Belize dan Semenanjung Yucatan di Mexico menjelang hujung minggu ini, menurut NHC. -AFP

SITI AISHAH MD ISA