TOKYO, 14 September- Taufan Bebinca menghampiri wilayah kepulauan barat daya Jepun, Amami, pada Sabtu dengan agensi cuaca memberi amaran mengenai hujan lebat, angin kencang dan air pasang besar di kawasan berkenaan, lapor Agensi Berita Kyodo.
Setakat pukul 8 malam, taufan ke-13 tahun ini berada kira-kira 50 kilometer (km) di selatan-barat daya Bandar Amami dan bergerak ke arah barat laut pada kelajuan sekitar 30 km sejam, menurut Agensi Meteorologi Jepun.
Ia membawa angin berkelajuan sehingga 144 km sejam dengan tekanan atmosfera 980 hektopaskal di pusatnya, kata agensi itu.
Agensi itu meramalkan angin berkelajuan sehingga 126 km sejam di Amami dan 108 km sejam di Okinawa pada Ahad, dengan ombak setinggi sehingga enam meter di Amami dan di Wilayah Kyushu Selatan di barat daya negara itu, serta lima meter di Okinawa.
Hujan lebat dalam tempoh 24 jam sehingga pukul 6 petang Ahad dijangka mencapai 150 milimeter (mm) di beberapa bahagian Kyushu Selatan dan Amami, dan 60mm di Okinawa.- BERNAMA-KYODO