fb fb fb fb fb

Taiwan siasat dua individu berkaitan letupan 'pager' di Lubnan

Gambar diambil pada 18 September 2024, di kawasan pinggir selatan Beirut menunjukkan sisa pager yang meletup dipamerkan di lokasi tidak didedahkan/AFP

TAIPEI, 20 September- Dua individu dari dua buah syarikat di Taiwan disoal siasat berhubung letupan alat peranti komunikasi mudah alih 'pager' ketika digunakan oleh anggota Hezbollah di Lubnan.

Dalam masa sama, Perdana Menteri Cho Jung-tai dan Menteri Ekonomi Kuo Jyh-huei menegaskan peranti yang terlibat dalam insiden letupan itu bukan berasal dari Taiwan.

Spekulasi terus timbul mengenai asal usul peranti tersebut dan cara ia sampai kepada kumpulan Hezbollah selepas ratusan pager dan walkie-talkie meletup di seluruh Lubnan pada Selasa dan Rabu lepas, mengorbankan sekurang-kurangnya 37 orang dan mencederakan hampir 3,000 yang lain.

The New York Times dalam laporan berita menyatakan Israel telah memasukkan bahan letupan dalam penghantaran pager dari syarikat Taiwan, Gold Apollo, dengan memetik pegawai Amerika Syarikat dan sumber lain tidak dinamakan.

Individu pertama yang disiasat adalah dari syarikat Gold Apollo yang dikaitkan dengan pengeluaran pager. 

Bagaimanapun Ketua Pegawai Eksekutif Gold Apollo Hsu Ching-kuang menafikan syarikatnya menghasilkan peranti tersebut dan menuding jari kepada rakan kongsi di Hungary iaitu BAC Consulting KFT yang menggunakan jenama syarikat beliau.

Media tempatan juga melaporkan individu kedua yang disoal siasat ialah Wu Yu-jen, seorang wakil berkaitan BAC Consulting KFT, yang telah menubuhkan sebuah syarikat di Taipei yang dinamakan "Apollo Systems".

Kedua-dua saksi itu dibenarkan pulang selepas beberapa sesi soal siasat.

Penyiasat juga dilapor menggeledah empat lokasi termasuk di Xizhi, New Taipei City dan Neihu, Taipei -- lokasi Gold Apollo beroperasi.

Sementara itu, Menteri Ekonomi Kuo Jyh-huei hari ini berkata pager buatan oleh Gold Apollo di Taiwan menggunakan komponen seperti litar bersepadu (IC) dan bateri berkualiti rendah.

“Benda-benda ini tidak akan meletup,” katanya sambil menambah Gold Apollo telah mengeksport 260,000 pager dalam tempoh dua tahun lalu dan "tidak pernah berlaku letupan".

Apabila ditanya mengenai pager di Lubnan yang digunakan oleh anggota Hezbollah, beliau berkata: "Kita pasti bahawa ia bukan dihasilkan di Taiwan."

Perdana Menteri, Cho Jung-tai juga menegaskan "syarikat dan Taiwan tidak secara langsung mengeksport pager ke Lubnan".

Awal minggu ini, Gold Apollo berkata model pager yang disebut dalam laporan media "dihasilkan dan dijual oleh BAC". Namun, seorang jurucakap kerajaan Hungary berkata BAC Consulting KFT hanya "sebuah perantara perdagangan, tanpa tapak pengeluaran atau operasi di Hungary". -AFP

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA