SINGAPURA, 17 Februari - Singapura pada Jumaat mengumumkan pakej bantuan untuk individu, termasuk rebat untuk bil utiliti bagi membantu meringankan kos sara hidup yang tinggi di negara itu.
Pengumuman itu dibuat semasa pembentangan belanjawan negara 2024, menjelang pilihan raya umum tahun depan.
Undian itu dijangka menandakan peralihan politik yang besar, dengan barisan pemimpin yang lebih muda akan menerajui kuasa ekonomi Asia Tenggara.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Lawrence Wong membentangkan belanjawan yang besar di parlimen dengan memperuntukkan Sg$3.2 bilion (AS$2.4 bilion) untuk menyokong isi rumah dan syarikat yang bergelut dengan inflasi.
Rebat cukai pendapatan peribadi sebanyak 50 peratus, dihadkan pada Sg$200 untuk tahun cukai yang lalu, akan diberikan manakala keluarga juga akan menerima wang tunai dan rebat untuk bil utiliti mereka.
"Ini adalah cara konkrit untuk membantu rakyat Singapura menangani tekanan kos sara hidup," kata Wong, yang dijangka menggantikan Perdana Menteri Lee Hsien Loong sebelum pilihan raya umum yang dijadualkan pada November 2025.
"Saya memberi jaminan bahawa kami sentiasa di belakang anda," katanya.
Syarikat juga akan menikmati rebat cukai pendapatan korporat sebanyak 50 peratus, dihadkan pada Sg$40,000 sebagai sebahagian daripada pakej untuk membantu perniagaan.
"Banyak syarikat telah menyaksikan peningkatan dalam bil gaji, sewa dan utiliti mereka," kata Wong.
Perdana Menteri Lee telah menyatakan hasrat untuk menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Wong akhir tahun ini.
"Ia adalah belanjawan pro-sosial, dimana kira-kira tiga perempat daripada ucapan itu ditumpukan kepada langkah-langkah sosial," kata Profesor Undang-undang bersekutu, Universiti Pengurusan Singapura, Eugene Tan.
"Ia adalah belanjawan yang besar namun seimbang," katanya kepada AFP.-AFP