GENEVA, 29 Mei- Seorang pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata pada Selasa (28 Mei) bahawa hospital terakhir di Rafah mungkin berhenti berfungsi dan sejumlah besar kematian boleh dijangkakan jika Israel melancarkan "serangan besar-besaran" ke atas bandar Rafah di selatan Gaza.
"Jika serangan itu diteruskan, kami akan kehilangan hospital terakhir di Rafah," Richard Peeperkorn, wakil WHO untuk Gaza dan Tebing Bara berkata di luar Perhimpunan Kesihatan Sedunia di Geneva, sedang kereta kebal Israel dilaporkan bergerak menuju ke bahagian tengah Rafah.
Menurutnya jika berlaku "serangan besar-besaran", maka pelan luar jangka yang melibatkan rawatan pesakit dalam rangkaian hospital lapangan yang tidak lengkap "tidak akan dapat mencegah apa yang kami jangkakan, iaitu kematian dan korban jiwa yang besar".
Serangan Israel ke atas Rafah selama tiga minggu membangkitkan kemarahan dunia selepas serangan udara pada Ahad lalu mencetuskan kebakaran di kem pelarian di daerah barat bandar itu, meragut nyawa sekurang-kurangnya 45 orang.
Israel meneruskan serangannya dengan menyasarkan dua anggota kanan Hamas dan tidak berniat untuk menyebabkan kematian orang awam.
Pada Selasa, 21 rakyat Palestin terbunuh dan berpuluh-puluh yang lain cedera dalam serangan kereta kebal Israel di kawasan dengan kem pelarian yang menempatkan para penduduk yang dipindahkan di barat Rafah, menurut pegawai perubatan Palestin.
Menurut Peeperkorn, daripada tiga hospital di Rafah, cuma tinggal satu sahaja yang "masih berfungsi".
Beliau berkata, Hospital El-Najar yang sebelum ini merawat 700 pesakit dialisis tidak lagi beroperasi.
Rafah adalah pintu masuk utama untuk menghantar bekalan bantuan kemanusiaan sebelum tentera Israel memperhebatkan serangan di sempadan Gaza pada awal bulan ini dan merampas kawalan lintasan dari sebelah pihak Palestin./ REUTERS