BEIRUT, 10 November- Sekurang-kurangnya 33 orang terbunuh dalam serangan Israel di timur dan selatan Lubnan semalam, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
"Serangan musuh (Israel) yang menyasarkan kawasan Baalbek-Hermel mengorbankan 20 orang, termasuk 11 di kawasan Knaissseh.
"Serangan itu turut mengakibatkan 14 orang lagi cedera," menurut kenyataan kementerian tersebut mengenai serangan di timur negara itu.
Di selatan Lubnan, serangan Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang, termasuk tujuh penyelamat.
Kementerian melaporkan lima kematian di kampung Hanouiyeh, selatan Lubnan.
Tentera Israel dalam kenyataannya menyebut bahawa pesawat mereka telah menyerang infrastruktur Hizbullah di kawasan Tyre dan Baalbek.
Serangan udara Israel di bandar Nabatiyeh, selatan Lubnan, mencederakan 12 orang, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
Serangan semalam berlaku sehari selepas kementerian melaporkan tujuh orang, termasuk dua kanak-kanak, terkorban dalam serangan Israel di bandar selatan Tyre. - AFP