BEIRUT, 1 April 2025 – Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dalam serangan udara Israel di di sini pada Selasa, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
Tentera Israel mengesahkan serangan tersebut dan mendakwa ia menyasarkan "seorang pejuang Hizbullah" yang didakwa terlibat dalam merancang serangan terhadap rakyat Israel.
Menurut Agensi Berita Nasional Lebanon, serangan di kubu kuat Hizbullah di Dahieh menyebabkan tiga maut dan tujuh cedera. Seorang jurugambar AFP melaporkan bahawa dua tingkat atas sebuah bangunan musnah, dengan penduduk bergegas keluar dalam keadaan panik.
Tentera Israel dalam kenyataannya berkata, individu yang disasarkan baru-baru ini mengarahkan operatif Hamas dan membantu mereka merancang serangan terhadap rakyat Israel".
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, memberi amaran bahawa tentera negaranya akan "menyerang mana-mana lokasi di Lubnan sebagai tindak balas kepada sebarang ancaman".
Pemimpin Hizbullah, Naim Qassem, mengutuk serangan terbaru Israel dan menegaskan bahawa "pencerobohan ini mesti dihentikan" dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen pada Sabtu.
Israel mendakwa dua "projektil" ditembak ke wilayahnya pada Jumaat, dengan satu berjaya dipintas dan satu lagi jatuh di dalam Lubnan. Walau bagaimanapun, Hizbullah menafikan sebarang penglibatan dalam serangan tersebut.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, menyalahkan kerajaan Lubnan atas serangan itu dan memberi amaran sekiranya kerajaan Lubnan gagal menguatkuasakan gencatan senjata, pihaknya akan bertindak.
Tentera Lubnan telah mengenal pasti lokasi pelancaran roket di utara Sungai Litani dan sedang menyiasat dalang serangan tersebut.
Israel terus melancarkan serangan di selatan dan timur Lubnan, mendakwa ia menyasarkan kemudahan tentera Hizbullah yang melanggar perjanjian gencatan senjata.
Di bawah perjanjian gencatan senjata, Israel sepatutnya menyelesaikan pengunduran tenteranya dari Lubnan pada 18 Februari, selepas terlepas tarikh akhir asal pada Januari.
Namun, Israel masih mengekalkan tenteranya di lima lokasi strategik.
Perjanjian itu juga menghendaki Hizbullah menarik tenteranya ke utara Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer dari sempadan Israel, serta membongkar infrastruktur ketenteraan mereka di selatan.
Tentera Lebanon telah dikerahkan ke selatan negara itu ketika tentera Israel berundur.-AFP.