fb fb fb fb fb

Sepanyol, Ireland, Norway rasmi iktiraf negara Palestin

(Dari kiri ke kanan) Bendera Norway, Afrika Selatan, Palestin, Ireland, dan Sepanyol, dinaikkan di pintu masuk bandar Ramallah di Tebing Barat/Foto AFP

MADRID, 29 Mei - Sepanyol, Ireland dan Norway secara rasmi mengiktiraf Negara Palestin pada pagi Selasa.

Ketiga-tiga negara Eropah itu percaya inisiatif dan sokongan mereka memberi impak serta simbolik yang kuat.

Keputusan itu sekali gus menggalakkan negara-negara lain akan menyertai tindakan mereka.

Perdana Menteri Ireland, Simon Harris berkata matlamatnya adalah untuk mengekalkan harapan keamanan di Asia Barat selepas kerajaan secara rasmi meluluskan langkah itu.

"Kami mahu mengiktiraf Palestin selesai proses akhir damai. Kami telah melakukan langkah ini bersama Sepanyol dan Norway untuk memastikan keajaiban keamanan," katanya dalam satu kenyataan yang turut menggesa Israel untuk menghentikan bencana kemanusiaan di Gaza.

Menteri Luar Norway, Espen Barth Eide menyifatkan langkah itu sebagai 'hari istimewa untuk hubungan Norway-Palestin'.

"Kami sedar bahawa kami masih mempunyai perjalanan yang panjang untuk menyokong ke arah itu dan Sepanyol bersedia berjalan seiringan menuju keamanan," kata Menteri Luar Jose Manuel Albares selepas kabinet Sepanyol menyokong pengiktirafan tersebut.

Beliau akan menerima kunjungan Menteri Luar Jordan, Qatar, Arab Saudi dan Turki di Madrid pada Rabu bagi meraikan pengiktirafan Sepanyol terhadap negara Palestin.

Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez menegaskan pengiktirafan terhadap negara Palestin adalah penting untuk keamanan.

Susulan langkah Sepanyol, Norway dan Ireland, jumlah negara yang mengiktiraf Negara Palestin meningkat kepada 147, daripada 193 negara anggota dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN