fb fb fb fb fb

Seorang terbunuh dalam pengeboman di barat Cameroon

Kanak-kanak antara yang cedera dalam pengeboman tersebut / FOTO X

YAOUNDÉ, 12 Februari- Bom buatan sendiri meragut satu nyawa dan mencederakan berpuluh yang lain dalam satu kejadian letupan di barat Cameroon pada Ahad, serangan yang dipercayai dilakukan oleh puak pemisah.

Letupan itu berlaku dua jam selepas perarakan kanak-kanak sekolah meraikan Hari Belia, lapor televisyen negara CRTV.

Di bandar Nkambe, "alat letupan buatan sendiri yang disembunyikan di gerai makanan meletup tidak jauh dari tapak pesta, dua jam selepas perarakan," menurut CRTV.

Video tular di media sosial menunjukkan kanak-kanak berpakaian seragam sekolah biru berlari lintang pukang dan orang ramai membantu mangsa yang cedera.

"Kami telah mengira jumlah mangsa cedera seramai 40 orang, empat daripadanya serius, dan seorang maut," kata Adolphe Lele Lafrique, gabenor wilayah barat laut.

"Kami percaya, ini adalah kerja puak pemisah," katanya kepada CRTV.

Wilayah itu telah menjadi tempat pertempuran berdarah antara gerakan kemerdekaan bersenjata dan tentera sejak 2016 tahun yang sama Presiden Paul Biya menyekat bantahan oleh kumpulan minoriti berbahasa Inggeris yang merasakan terpinggir di negara yang kebanyakannya berbahasa Perancis.

Kedua-dua pihak kerap dituduh oleh kumpulan hak asasi antarabangsa melakukan jenayah terhadap orang awam.

Biya, 90, telah mengendalikan Cameroon hampir seorang diri selama lebih 40 tahun.- AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE