fb fb fb fb fb

Senegal alami gangguan elektrik di seluruh negara

FOTO HIASAN

DAKAR, 13 September- Senegal mengalami gangguan elektrik meluas berikutan terdapat masalah di sebuah stesen janakuasa di ibu negaranya, Dakar semalam.

"Kami mengalami gangguan disebabkan insiden sekitar pukul 1.00 tengah hari (waktu tempatan) di kawasan Hann, Dakar, yang menyebabkan gangguan elektrik di seluruh negara," kata jurucakap syarikat kuasa nasional Senelec, Marietou Seye.

Seye berkata gangguan elektrik kali ini adalah paling lama dan teruk bagi tempoh beberapa tahun terakhir dan ia disifatkan kejadian luar biasa serta jarang berlaku dalam sejarah baru-baru ini.

"Ini kali pertama dalam bertahun-tahun kami menghadapi gangguan selama ini," kata Seye.

Loji janakuasa di seluruh Senegal terpaksa memutuskan sambungan daripada rangkaian elektrik untuk melindungi peralatan mereka.

Ia selepas berlaku insiden yang menyebabkan "litar pintas sangat kuat dan letupan besar" di kawasan Hann.

"Bagaimanapun bekalan elektrik telah dipulihkan di beberapa kawasan di Dakar dan bandar-bandar lain menjelang petang," tambah Seye.

Sektor elektrik Senegal telah lama menghadapi krisis selama bertahun-tahun, dengan gangguan kerap yang memuncak pada 2010 dan 2011.

Namun berkurangan selepas Presiden Macky Sall yang memerintah sehingga awal tahun ini melakukan pelaburan besar dalam infrastruktur tenaga negara serta mempelbagaikan campuran tenaga.

SITI AISHAH MD ISA