fb fb fb fb fb

Selepas hospital kanak-kanak, Masjid pula didakwa jadi sasaran Rusia

(Sebuah bangunan di Kiev musnah selepas dibedil pada 12 Mac 2022/AFP)

KIEV, 12 Mac- Sebuah masjid di tenggara bandar Mariupol, Ukraine yang menjadi tempat perlindungan 80 orang awam, diserang tentera Rusia.

"Masjid Sultan Suleiman dibedil penceroboh Rusia. Lebih 80 orang dewasa dan kanak-kanak berlindung di sana daripada serangan tentera Rusia, termasuk rakyat Turki," menurut kenyataan Kementerian Luar itu menerusi Twitter.

Namun, kenyataan itu tidak memperincikan bila masjid itu diserang. Sudah lebih seminggu Mariupol dikepung tentera Rusia.

"Situasi di bandar pelabuhan strategik amat ‘terdesak’, memaksa orang awam bermati-matian untuk melarikan diri.. namun tanpa bekalan air atau pemanas suhu dan kehabisan makanan," kata seorang eksekutif Doktor Tanpa Sempadan pada Jumaat, waktu tempatan.

Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba menerusi Titter menyebut, bandar Mariupol yang dikepung menyaksikan malapetaka kemanusiaan terburuk di bumi ini; 1,582 orang awam mati dalam tempoh 12 hari.

Rabu lalu, tiga orang termasuk kanak-kanak terbunuh apabila tentera Rusia membedil sebuah hospital kanak-kanak di bandar berkenaan, sekali lagi mencetuskan kemarahan antarabangsa.

Bagaimanapun menurut Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Iryna Vereshchuk meskipun keadaan semasa membimbangkan, usaha terbaharu terus dan sedang dilakukan untuk mewujudkan koridor kemanusiaan bagi membolehkan orang awam dipindahkan dari kawasan yang dikepung ke Zaporizhzhia, kira-kira 200 ke timur laut.


(Pelarian Ukraine sedang menunggu bas selepas tiba di Poland/AFP)

Sejak beberapa hari lalu, Ukraine mendakwa tentera Rusia mengganggu laluan pemindahan bagi menghalang penduduk awam keluar.

Sementara itu, tentera Rusia dilapor semakin mara untuk mengepung Kiev, dan membedil bandar Vasylkiv pada pagi Sabtu, kawasan yang terletak kira-kira 40 kilometer selatan ibu negara (Kiev).

“Lapan roket tentera Rusia membedil lapangan terbang tempatan kira-kira 7.00 pagi menyebabkan keseluruh musnah,” kata Datuk Bandar Natalia Balassinovitch menerusi akaun Facebook miliknya.

“Depoh minyak turut terkena dan terbakar,” katanya. –AFP

 

 

 

Media Baharu