CHIANG RAI, 15 Januari- Sawah padi milik Tanyapong Jaikum di utara Thailand dijadikan hamparan seni dengan menanam pelbagai jenis padi membentuk gambar naga, kucing dan anjing.
Ia merupakan simbolik kepada semangat padi selepas tanaman di kawasan itu musnah berikutan banjir yang menenggelamkan kawasan berhampiran pada September 2024. Kejadian itu menyebabkan ribuan penduduk terjejas.
Insan seni dan juga petani amatur berusia 42 tahun itu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk merancang dan memperhalusi garis reka bentuk dan sistem kedudukan global (GPS) untuk menandakan koordinat tepat penanaman 20 kilogram padi pelbagai warna. Ia dilakukan dengan teliti.
Tanyapong dan pasukannya memulakan kerja berkenaan pada Oktober dan menggunakan lebih dua hektar (lima ekar) kawasan tanah sekali gus menukar kawasan berkenaan kepada imej berkenaan.
"Naga... simbolik kepada penghindar aura negatif dan berharap kejadian itu (bencana banjir) tidak akan berlaku lagi," kata Tanyapong kepada Reuters.
Sejak pelancaran seni padi itu pada Disember lalu, ribuan pengunjung termasuk pelajar, keluarga dan penduduk tempatan berkunjung ke kawasan berkenaan untuk mencari inspirasi.
Seorang petani Tanet Mala, ketika mengenang peristiwa banjir melanda Thailand tahun lalu mengatakan, "kami tidak dapat mencari rezeki. Semuanya tenggelam akibat banjir, keadaan itu seperti laut."- Reuters