fb fb fb fb fb

Sarjan tentera AS didakwa beri maklumat pertahanan kepada China

Sarjan Korbein Schultz, ditahan di Fort Campbell pada Khamis

WASHINGTON, 8 Mac- Seorang penganalisis perisikan Tentera AS telah ditangkap pada Khamis kerana didakwa memberikan maklumat pertahanan negara kepada China.

Sarjan Korbein Schultz, ditahan di Fort Campbell, sebuah pangkalan tentera di sempadan Kentucky-Tennessee, kata Jabatan Kehakiman dalam satu kenyataan.

Pendakwaan ke atas Schultz tidak dinyatakan negara mana yang menerima maklumat daripada pegawai itu, namun laporan akhbar mengenal pasti ia sebagai China.

Menurut kertas pendakwaan, Schultz, dilaporkan terbabit dengan salah laku berkenaan sejak Jun 2022 menerusi perkongsian maklumat mengenai dokumen, peta dan gambar yang berkaitan dengan pertahanan negara AS.

Schultz didakwa telah dibayar sejumlah AS$42,000 untuk maklumat tersebut.

Jabatan Kehakiman berkata ia termasuk maklumat tentang rancangan AS sekiranya Taiwan diserang selain dokumen berkaitan dengan pesawat pejuang dan helikopter, peralatan hipersonik, Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi (HIMARS) dan kajian tentang tentera AS dan China.

Pendakwaan terhadap Schultz dibuat sejurus selepas penahanan di California terhadap dua kelasi Tentera Laut AS atas tuduhan mengintip untuk China.

Pegawai rendah Wenheng Zhao dijatuhi hukuman penjara 27 bulan pada Januari selepas mengaku bersalah atas tuduhan bersubahat dengan pegawai perisikan asing dan menerima rasuah.

Zhao dan seorang lagi kelasi AS, Jinchao Wei, telah ditangkap pada Ogos.- AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE