fb fb fb fb fb

Samsung komited labur AS$356 bilion jana 80,000 peluang kerja

(FOTO AFP)

SEOUL, 24 Mei- Syarikat kumpulan Samsung mengumumkan pelaburan berjumlah AS$356 bilion untuk tempoh lima tahun akan datang ke arah menjadikan syarikat itu sebagai peneraju dalam pelbagai sektor daripada semikonduktor sehingga biologi.

Nilai pelaburan baharu itu meingkat lebih satu pertiga daripada jumlah pelaburan dalam tempoh lima tahun lalu.

Gergasi teknologi itu adalah konglomerat terbesar di Korea Selatan dan jumlah perolehan keseluruhan adalah bersamaan dengan satu perlima daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Samsung Electronics, anak syarikat utama adalah pengeluar terbesar telefon pintar dunia.

Pelan pelaburan itu akan membawa kepada “pertumbuhan jangka panjang dalam perniagaan strategik seterusnya membantu memperkukuh ekosistem industri global.” menurut kenyataan Samsung.

80,000 peluang pekerjaan baharu bakal tercipta, “terutama dalam perniagaan teras termasuk semikonduktor dan biofarmaseutikal" menjelang 2026.


(Presiden AS, Joe Biden (kiri) berdiri berhampiran Presiden Keroe Selatan (dua dari kiri)
dan Naib Pengerusi Samsung Electronics Co. (dua dari kanan) semasa sesi lawatan
Samsung Electronic, Kilang Pyeongtaek pada 20 Mei 2022/AFP)

Kenyataan sama menyebut, pelaburan itu membolehkan pengeluaran besar-besaran cip berdasarkan proses 3-nanometer," teknologi terkini untuk mengecilkan lagi saiz semikonduktor dan meningkatkan kuasa pengkomputeran.

Pelaburan besar juga akan dibelanjakan dalam sektor biofarmaseutikal bersama Samsung Biologics dan Samsung Bioepis.

Pelan baharu itu merangkumi peningkatan 36% peratus daripada jumlah pelaburan berbanding keseluruhan pelaburan dalam tempoh lima tahun lalu.

Pengumuman itu dibuat selepas lawatan Presiden Joe Biden ke kilang semikonduktor terbesar Pyeongtaek, Samsung Electronics pada Jumaat, menunjukkan kepentingan syarikat Korea Selatan itu dalam rantaian bekalan global mikrocip, semasa lawatan pertama Biden ke Asia.

Korea Selatan dan Amerika Syarikat perlu berusaha bagi memastikan “rantaian bekalan berdaya tahan, boleh dipercayai dan selamat," kata Biden yang menyifatkan pengeluaran semikonduktor di sana (Korea Selatan) sebagai "keajaiban inovasi" dan amat penting kepada ekonomi global.

Samsung menggaji kira-kira 20,000 orang di Amerika Syarikat dan kerja berkaitan pembinaan kilang semikonduktor baharu di Texas sedang berjalan; dijadualkan beroperasi pada 2024. –AFP

Media Baharu