KUMEJIMA, 16 Februari- Saintis di Jepun menemukan spesis hidupan laut baharu yang lutsinar serta berbintik hitam dan corak putih seperti panda, baru-baru ini.
Tambah unik, jalur putih pada strukturnya mencipta gambaran seperti rangka badan.
Selepas penampilan sulungnya kepada umum, warganet menamakan ia sebagai "gaikotsupandahoya" yang membawa maksud "rangka panda laut".
Bagaimanapun, nama rasmi bagi hidupan kecil berukuran sekitar dua sentimeter itu adalah "Clavelina ossipandae".
"Clavelina" bermaksud "botol kecil" dan "ossipandae" merujuk kepada rangka serta rupa panda.
Saintis dari Universiti Hokkaido, Naohiro Hasegawa berkata, bahagian putih yang kelihatan seperti tulang adalah saluran darah, manakala bahagian hitam di kepala seperti mata dan hidung panda itu pula hanyalah corak.
Ia diisytiharkan sebagai spesis baharu pada 1 Februari lalu selepas melalui proses dokumentasi.
Hasegawa berkata, beliau kali pertama melihat imej "rangka panda laut" terbabit menerusi platform X pada tahun 2018. -Reuters