MOSCOW, 27 Mei - Rusia berkata pada Jumaat ia sedang berusaha meningkatkan pengeluaran bijirinnya untuk dieksport pada musim akan datang.
Pengumuman dibuat ketika dunia berhadapan krisis makanan yang diburukkan lagi oleh kempen ketenteraan Moscow di Ukraine.
Tindakan ketenteraan dan sekatan yang dikenakan Amerika Syarikat AS dan sekutunya terhadap Rusia telah menyebabkan bekalan global bijirin, gandum dan komoditi lain terjejas.
Rusia dan Ukraine sahaja menghasilkan 30% daripada bekalan gandum global.
"Pada musim semasa (2021-2022) kami telah mengeksport lebih 35 juta tan bijirin, termasuk 28.5 juta tan gandum," kata Menteri Pertanian Dmitry Patrushev dalam forum bijirin Rusia di sini.
(Dmitry Patrushev menyatakan Rusia berusaha tingkatkan eksport bijirin,
atasi krisis makanan global/Laman rasmi Presiden Rusia)
Lagi berkaitan isu sama
Rusia tawar bantuan selamatkan krisis makanan dunia
Tambah beliau, sebelum akhir musim pada 30 Jun, jumlah eksport diunjurkan melebihi 37 juta tan.
“Pada musim akan datang (bermula 1 Julai 2022) kami menganggarkan potensi eksport bijirin kami pada 50 juta tan,” katanya.
Barat menuduh Kremlin menggunakan komoditi makanan sebagai senjata semasa operasi ketenteraannya di Ukraine.
Rusia juga didakwa mencuri bijirin Ukraine dari wilayah yang dikuasai tenteranya.
Rusia menafikan dakwaan itu dan menawarkan untuk mewujudkan koridor eksport di Ukraine sekali gus membantu mengelak krisis makanan global, jika sekatan antarabangsa yang dikenakan terhadap Moscow dihapuskan. -AFP