DOHA, 14 Mei - Rundingan berhubung gencatan senjata di Gaza menemui jalan buntu susulan operasi ketenteraan yang dilancarkan Israel terhadap bandar Rafah kata Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdul Rahman Al-Thani pada Selasa.
"Beberapa minggu lalu, kita telah melihat beberapa momentum positif, namun malangnya rundingan tersebut tidak bergerak seperti yang diharapkan.
"Kini status rundingan menemui jalan buntu. Operasi ketenteraan di Rafah oleh Israel membuatkan rundingan terkubur", kata Sheikh Mohammed di sidang Forum Ekonomi di sini.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed yang bertindak sebagai perantara penting rundingan di antara Kumpulan Pejuang Palestin, Hamas dan Israel sejak tercetusnya perang berikrar untuk terus berusaha menyelesaikan konflik berkenaan.
"Kami telah jelaskan peranan kami. Tugas Qatar adalah terbatas kepada usaha perundingan. Itu yang kami lakukan dan akan terus lakukan", katanya.
Sheikh Mohammed turut menjelaskan terdapat perbezaan prinsip terutamanya berhubung pembebasan tebusan dan penamatan perang yang menjadikan rundingan sukar dan menemui jalan buntu.
Operasi ketenteraan Israel di Rafah yang bermula sejak awal bulan ini (Mei) telah menyebabkan lintasan utama sempadan dengan Mesir untuk bantuan kemanusiaan ditutup, kata kumpulan kemanusiaan. Kumpulan berkenaan turut bimbang dengan situasi di Rafah yang semakin buruk.
Kereta kebal Israel dilaporkan telah memasuki Timur Rafah sehingga ke kediaman penduduk di beberapa daerah pada Selasa sekali gus meningkatkan serangan di bandar berkenaan menyaksikan sejuta orang mencari kawasan perlindungan sejak perang yang berlaku sejak tujuh bulan yang lalu.
Lebih 35,000 rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak perang bermula pada Oktober tahun lalu kata pegawai kesihatan di kawasan yang dikuasai Hamas.-REUTERS