fb fb fb fb fb

Ribuan penduduk melarikan diri ketika taufan keempat melanda Filipina

Pekerja mengalihkan pokok yang tumbang di lebuh raya Casiguran, wilayah Aurora, selepas Taufan Toraji melanda Filipina / AFP

MANILA, 11 November- Ribuan penduduk kampung diarahkan berpindah selepas Taufan Toraji melanda Filipina.

Ia merupakan taufan keempat yang terjadi di negara tersebut dalam tempoh sebulan, menyebabkan kawasan pelabuhan terpaksa ditutup.

Ketua Pertahanan Awam bandar Dinalungan dekat Dilasag, Merwina Pableo, berkata Taufan Toraji melanda timur laut berhampiran bandar Dilasag, kira-kira 220 kilometer dari Manila.

"Kami dilanda angin kencang dan hujan lebat. Beberapa pokok tumbang dan bekalan elektrik terputus sejak semalam," katanya.

Menurut pasukan penyelamat 7,000 orang dipindahkan dari kawasan pesisir pantai serta kawasan berisiko berlakunya banjir dan tanah runtuh di wilayah Aurora dan Isabela.

Secara keseluruhan, pihak berkuasa mengarahkan pemindahan melibatkan 2,500 kampung, semalam.

Ini meskipun pejabat bencana negara tidak mempunyai jumlah keseluruhan penduduk yang terpaksa dipindahkan sehingga hari ini.

Sementara itu di Disalag, seorang guru sekolah, Glenn Balanag, 31, sempat merakam kejadian yang menyebabkan pokok kelapa di sekitar kediamannya bergegar.

"Pokok besar tumbang dan kami mendengar bumbung beberapa rumah rosak. Hujan berlaku berterusan dan paras air sungai berhampiran semakin meningkat," katanya. - AFP

Trainee2