fb fb fb fb fb

Ribuan penduduk Gaza berebut sepinggan nasi

20,000 orang bergantung kepada dapur amal itu setiap hari untuk terus hidup/Foto VIORY

KHAN YOUNIS, 26 September – Krisis makanan di Gaza semakin meruncing apabila ratusan penduduk yang dipindahkan berbaris panjang di luar dapur amal al-Saada di Khan Younis untuk mendapatkan makanan percuma.

Wanita, kanak-kanak dan warga emas membawa periuk serta pinggan, sementara sukarelawan menyediakan hidangan.

“Kami menunggu di sini sehingga makanan siap untuk diberikan kepada anak-anak. Di Gaza tiada makanan dan tiada wang, jadi inilah satu-satunya sumber makanan untuk mereka," kata Mohammed Kallab salah seorang penduduk Gaza.

Pemiliknya, Saad Abdin berkata sekitar 20,000 orang bergantung kepada dapur amal itu setiap hari untuk terus hidup.

“Keluarga kini berdepan kekurangan zat makanan kerana daging, ikan dan telur langsung tidak dapat masuk akibat sekatan Israel,” katanya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengklasifikasikan Gaza pada Tahap 5 iaitu tahap tertinggi krisis makanan, dengan setengah juta penduduk berisiko kebuluran serta kematian.

Konflik berlarutan sejak 7 Oktober 2023 telah meragut lebih 65,000 nyawa rakyat Palestin, manakala operasi darat besar-besaran Israel di Gaza terus memburukkan keadaan kemanusiaan. - VIORY

GRACE AISYAH KEDAYAN